Portal berita terbaik anda

Utama

‘Mummy, daddy tunggu kami di syurga’

SUDAH tujuh bulan kemalangan meragut nyawa ibu bapa mereka berlaku, namun tiga beradik yatim piatu ini masih terbayangkan insan kesayangan mereka.

Aryan Rizki, 7, anak sulung Allahyarham Surawati Mohd serta Muhammad Noor Idham Ramli apabila ditanya, berkata, mahu jadi anak yang baik untuk berjumpa ibu bapa mereka di syurga.

“Abang tahu daddy (ayah), mummy (ibu) tunggu kami di syurga, jadi abang dan adik-adik akan jadi budak baik dan baca (surah) Al-Fatihah banyak-banyak supaya dapat jumpa mereka,” katanya.

Surawati dan Muhammad Noor Idham meninggal dunia selepas Perodua Myvi dinaiki bersama tiga anak mereka berlanggar dengan lori baja di Kilometer 134 Jalan Kuantan-Seremban, dekat Keratong, Rompin, 3 Oktober tahun lalu.

Kini Aryan Rizki dan dua adiknya, Areesh Razeen, 4, dan Arfan Rakeen, 2, tinggal bersama nenek mereka, Zainab Mamat, 61, di Kampung Gong Merawang di Rhu Muda, Marang.

Menurut Zainab, kemalangan itu masih menghantui dan memberi kesan mendalam terhadap tiga cucunya.

“Mereka masih ingat dan bercerita mengenai kemalangan itu dan kalau dengar atau tonton berita kemalangan di televisyen, mereka akan menyebut mummy dan daddy terutama Areesh.

“Hanya Allah SWT tahu bagaimana perasaan saya terhadap mereka dan sekarang pun mereka masih cuba menyesuaikan diri, manakala Arfan tidak boleh berenggang dengan saya,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Selain Zainab, tiga beradik itu turut menumpang kasih empat ibu bapa saudara dengan seorang ibu saudaranya turut menjadi ibu susuan Arfan Rakeen.

Terdahulu, mereka menerima kunjungan Pengurus Besar Hotel Permai, Noralizan Abdul Rahman dan kakitangan hotel berkenaan yang hadir menyampaikan barang keperluan harian dan kelengkapan Syawal.

Allahyarham Muhammad Noor Idham sebelum ini pekerja di hotel berkenaan.

Sementara itu, Noralizan berkata, pihaknya terpanggil untuk melihat perkembangan ketiga beradik itu dan menyampaikan sumbangan hasil kutipan tabung yang diwujudkan untuk membantu mereka.

Loading...

1 Comment

  1. zainab abdul manap

    Ouh…sebaknya .
    Semoga dorg kekal mjd anak2 yg baik.

    Dah nma nenek dorg sama pulak ngan nma cik nab .
    Tp , cik nab cuma nenek tunggal je.
    Hehe..

Leave a Reply