Portal berita terbaik anda

Utama

Mukhriz tidak tahu The Equanimity ada di Langkawi

ALOR SETAR – Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menegaskan kerajaan negeri tidak tahu menahu tentang keputusan Kerajaan Pusat memindahkan kapal layar mewah, The Equanimity dari Pelabuhan Klang, Selangor ke Langkawi.

Kata Mukhriz, pihaknya juga tidak dimaklumkan berhubung perkembangan terkini kapal layar mewah berkenaan.

Walau bagaimanapun katanya, perkara berkaitan kapal layar kontroversi itu adalah di luar bidang kuasa kerajaan negeri.

“Saya tidak tahu (The Equanimity di Langkawi). Apa tujuan ia berada di sini?

“Kita tak dimaklumkan dan tak perlu tahu pun,” jawabnya ringkas ketika sidang akhbar selepas ucapan pengulungan beliau di Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan, Kapal layar The Equanimity berlabuh di Pangkalan Laut Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM ) di Jalan Bukit Malut dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, kapal layar mewah itu tiba di sini pada pukul 10.30 pagi dari Pelabuhan Klang, Selangor.

Pada Ogos lepas, kerajaan memutuskan bahawa The Equanimity yang didakwa dibeli menggunakan dana yang diseleweng daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dijual sekiranya tiada mana-mana pihak mempertikaikan mengenai pemilikan kapal itu.

Proses membida The Equanimity bermula 29 Oktober lepas dan berakhir 28 November ini.

Kapal mewah berkenaan ditempatkan di Pelabuhan Klang sejak Ogos lalu.

Difahamkan kapal berkenaan akan ditempatkan di pulau peranginan negara itu sehingga urusan pembidaannya selesai.

Loading...

Leave a Reply