Mujahid enggan ulas syarikat judi taja lawatan KPN ke Turki

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof cuba mengelak daripada menjawab pembabitan syarikat loteri yang membiayai pihak polis untuk lawatan sambil belajar ke Turki.

Sebaliknya Mujahid menyerahkan soal pembiayaan yang membabitkan Ketua Polis Negara kepada kementerian berkaitan dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menjelaskan isu berkenaan.

“Itu saya tak tahu, itu kena tanya kementerian berkenaan dan polis,” katanya pada sidang media merasmikan Perhimpunan Bulanan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Bangunan PERKIM, di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng semalam yang mengesahkan lawatan sambil belajar Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun bersama pegawai kanan polis ke Turki ditaja oleh syarikat nombor ramalan, Da Ma Cai.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula berkata, lawatan itu dibenarkan bagi mempelajari kaedah membanteras kegiatan judi dalam talian berdasarkan keperluan polis menangani kegiatan itu di negara ini, bukannya atas urusan peribadi.

Ahad lalu, Sarawak Report melaporkan beberapa pegawai tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk Ketua Polis Negara pergi ke Turki. – MalaysiaGazette

Loading...
Published
Categorized as Utama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *