Portal berita terbaik anda

Politik

Mujahid bimbang ‘permainan’ BN, Pas

PARIT BUNTAR – Kaedah berkempen menggunakan sentimen perkauman dan agama sepanjang tempoh PRK Parlimen Cameron Highlands dibimbangi terus dijadikan alat BN dan Pas meraih simpati pengundi pada PRK Dun Rantau dan Semenyih.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, trend kempen sedemikian membimbangkan PH kerana inisiatif menyebarkan sentimen perkauman dan agama terang-terangan satu usaha memfitnah kerajaan sedia ada.

Menurutnya, kejayaan calon BN memenangi PRK Cameron Highlands semalam turut menunjukkan trend kempen ‘kotor’ dimainkan BN dan Pas masih memberi kesan langsung kepada orang Melayu untuk terpedaya dengan fitnah mereka.

“Trend kempen perkauman dan agama dimainkan BN dan Pas sebenarnya mencemarkan usaha kerajaan PH hendak menjadikan Malaysia Baharu bebas dari unsur diskriminasi perkauman.

“Saya mendengar sendiri ceramah politik disampaikan Abdul Hadi Awang dan Mohammad Hassan terang-terangan menyebut menteri agama tidak jaga agama, jual Tabung Haji dan ikut telunjuk DAP.

“Sepatutnya jika mereka hendak berkempen pilihan raya, kempen secara sihat dengan mengkritik dasar kerajaan yang dirasakan tidak bersesuaian dan jangan sesekali memainkan sentimen agama dan perkauman yang boleh memecahbelahkan rakyat berbilang bangsa di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis perasmian Pesta Ponggal Parlimen Parit Buntar di sini, hari ini.

Menurutnya, kecenderungan BN dan Pas menggunakan trend kempen sebegini berterusan ke PRK seterusnya memberi cabaran besar kepada PH dalam memenangi hati rakyat namun beliau beri jaminan kerajaan PH tidak memilih menggunakan kaedah kempen kotor yang berupaya memecahbelahkan rakyat dalam sebarang kempen PRK akan datang.

“Biar PH kekal dengan prinsip memberi penjelasan terhadap kebaikan dasar kerajaan dilaksanakan kerajaan dan menjawab segala tuduhan fitnah dilemparkan parti pembangkang.

“Selain itu, analisis ringkas dibuat saya sempena PRK Cameron Highlands semalam turut mendapati sokongan orang Melayu dan orang asli juga banyak berpindah undi kepada PH susulan penurunan undi BN sebanyak 40 peratus.

“Cuma apabila undi penyokong Pas dapat dipindahkan kepada BN ditambah faktor calon BN yang turut mempunyai kaitan dengan masyarakat orang asli membolehkan BN mengekalkan kerusi Parlimen Cameron Highlands,” katanya.

Loading...

Leave a Reply