Portal berita terbaik anda

Utama

Mufti ketawa lihat Zizan dalam Polis Evo 2

Meskipun mengundang reaksi negatif sesetengah, Mufti Wilayah Persekutuan membayangkan beliau masih terhibur dengan paparan dalam filem Polis Evo 2.

Membuat kenyataan di media sosial, Dr Zulkifli Mohamad berkata beliau ketawa menyaksikan gelagat salah seorang pelakon utama filem berkenan, Zizan Razak.

“Sesekali tertawa degan gelagat @zizanrazak869 dalam filem ini,” katanya petang ini.

Bagaimanapun mufti terbabit tidak menjelaskan pendiriannya – sekurang-kurangnya buat masa ini – mengenai filem berkenaan.

Sebaliknya kata Zulkifli beliau akan memberikan penjelasan lebih mendalam melalui laman sesawang khas, Bayan Linnas, pada malam ini.

Untuk rekod Bayan Linnas ialah laman sesawang yang memaparkan jawapan rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan bagi soalan atau isu yang dibangkitkan orang awam.

Menurut Zulkifli beliau menonton Polis Evo 2 atas jemputan penerbit eksekutif filem itu Khairul Anwar Salleh.

“Insya-Allah ulasan penuh akan kami keluarkan dalam Bayan Linnas selewat-lewatnya malam ini,” katanya.

Polis Evo 2 mengundang rasa kurang senang sesetengah pihak termasuk seorang pemimpin PAS yang menganggap watak penjahat yang berserban itu boleh menjejaskan imej Islam.

Menurut anggota Jawatankuasa Pusat PAS Dr Riduan Mohd Nor orang ramai wajar memboikot filem berkenaan.

Watak dipertikaikan itu dilakonkan Hasnul Rahmat yang membawa peranan sebagai Hafsyam dan menggunakan agama untuk melakukan jenayah.

Minggu lalu Lembaga Penapis Filem mengesahkan filem terbitan Astro Shaw dengan kerjasama produksi Indonesia, SCM itu tidak mengandungi sebarang elemen yang boleh ditafsirkan sebagai memeberi imej buruk terhadap agama Islam.

Selain Zizan, filem itu turut menampilkan Shaheizy Sam dan pelakon Indonesia Raline Shah sebagai watak utama.

Pelakon lain yang menjayakan Polis Evo 2 ialah Erra Fazira, Raline Shah, Hairul Azureen, Soffi Jikan dan Shafie Naswip.

Loading...

Leave a Reply