Portal berita terbaik anda

Utama

Misteri kehilangan isteri terjawab, suami mengaku bunuh dan tanam mayat

JOHOR BAHRU: Misteri kehilangan seorang isteri yang didakwa melarikan diri dari rumah akhirnya terjawab apabila mayatnya ditemui dalam sebuah tong air yang tertanam di sebuah ladang serai, di Bandar Penawar, pagi semalam.

Lebih memilukan, suaminya yang berusia 43 tahun, menjadi suspek utama yang dipercayai menembak isterinya yang berusia 38 tahun, ketika wanita berkenaan sedang tidur di kediaman mereka di Taman Saujana, Kota Tinggi.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata kes berkenaan dipercayai bermotifkan cemburu selain polis turut menemui surat tuntutan fasakh di kediaman berkenaan.

Kes ini bermula apabila jiran mangsa membuat laporan berkaitan kehilangan ibu dua anak berkenaan, Isnin lalu. Ia membawa kepada penahanan suami wanita berkenaan serta seorang lagi lelaki yang berusia 32 tahun yang juga rakan baiknya, keesokan harinya, bagi membantu siasatan.

“Hasil siasatan awal ke atas suami wanita itu, suspek mendakwa isterinya keluar rumah pada pagi Isnin lalu kira-kira jam 2 pagi dan tidak pulang ke sejak itu. Suspek mendakwa berlaku perselisihan faham dengan isterinya itu sebelum mangsa keluar rumah.

“Bagaimanapun, suami mangsa yang juga seorang pemandu jengkaut akhirnya mengaku membunuh isterinya ketika wanita berkenaan sedang tidur dengan menggunakan senapang angin.

“Mayat wanita malang berkenaan dimasukkan ke dalam tong air berwarna biru bersama kain cadar sebelum tong berkenaan di bawa ke sebuah ladang serai di Bandar Penawar, lebih 30 kilometer dari kediaman mereka dan ditanam di situ,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, kira-kira jam 10.30 pagi semalam suspek menunjukkan lokasi isterinya ditanam.

Katanya, mayat mangsa yang diisi di dalam tong air itu ditemui tertanam sedalam kira-kira dua meter di ladang serai berkenaan.

“Kita percaya suspek membawa tong air biru itu di dalam kenderaan miliknya ke ladang berkenaan sebelum menggunakan jengkaut bagi menggali lubang bagi menanam tong berkenaan.

Loading...

Leave a Reply