Portal berita terbaik anda

Politik

‘Mereka yang memfitnah saya akan diazab di akhirat’ – Mujahid

PARIT BUNTAR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusof mengulangi penegasannya bahawa kenyatannya kerajaan tidak lagi melaksanakan serbuan khalwat kepada pasangan Islam diputar belitkan.

Menurutnya, sehubungan itu beliau meminta supaya kenyataan tidak benar dan disalah tafsir itu tidak lagi ditularkan.

Beliau memberi amaran bahawa mereka yang bertanggungjawab menularkan kenyataan itu tanpa meneliti apa sebenarnya beliau perkatakan akan menerima balasan di akhirat.

“Akhir-akhir ini banyak kenyataan saya diputar belitkan, banyak disalah tafsir. Ada yang kata Menteri Agama sokong LGBT, sokong liberal dan yang terkini mereka kata ‘tak apa nak berzina, berkhalwat fasal kerajaan tak tangkap orang yang buat khalwat’.

“Kalau ada yang menularkan benda itu tanpa memerhatikan apa yang saya kata sebenarnya, maka kalau saya tak dapat perjelaskan (perkara sebenar) di dunia, saya takut di hari akhirat nanti mereka akan tergolong dalam golongan orang yang memanjangkan fitnah, seperti sabda Nabi ‘jaga-jaga kamu akan dihumbankan dalam api neraka kerana mulut-mulut kami,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Jom Ngail di Ban Pecah, dekat sini hari ini.

Mujahid menegaskan, beliau memahami kuasa negeri-negeri dan kuasa kerajaan Persekutuan dalam hal ehwal agama dan setakat ini hubungan dengan negeri-negeri termasuk pihak istana berjalan lancar dan baik.

“Tidak ada perkara yang saya cadangkan melainkan merujuk dahulu kepada kuasa-kuasa yang ada pada negeri-negeri,” katanya.

Menurut Mujahid, sebagai Menteri Agama beliau bertanggungjawab memelihara amanah supaya pentadbiran agama dibuat jauh lebih daripada kerajaan sebelum ini.

Menurutnya, kaedah dan cara kerajaan hari ini mungkin berbeza kerana jika cara dahulu yang sudah dibuat tetapi tidak berjaya mengapa ia perlu diteruskan.

“Saya bertanggungjawab untuk memastikan semua rakyat termasuk yang bukan Islam berada dalam kerangka Perlembagaan, kita mesti membina sebuah masyarakat yang rahmatan lil alamin, bekerjasama atas kebaikan dan tolak kemungkaran,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Loading...

Leave a Reply