Portal berita terbaik anda

Politik

Menteri PH tidak layak dapat pencen

SHAH ALAM – Ahli Jemaah Menteri sedia ada berkemungkinan tidak mendapat kelayakan pencen sekiranya mereka dihentikan perkhidmatan susulan desas-desus pembentukan gabungan kerajaan baharu antara parti kerajaan dan parti pembangkang.

Difahamkan, kesemua jawatan dipegang oleh barisan Jemaah Menteri pada ketika ini baharu memasuki tempoh 21 bulan, sedangkan syarat kelayakan pencen pula perlu sekurang-kurangnya tempoh 36 bulan berkhidmat mengikut Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980 [Akta 237].

Pakar Undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, mengikut akta berkenaan, dijelaskan tentang saraan bagi anggota pentadbiran iaitu bagi perdana menteri gaji bulanan sebanyak RM22,826.65, timbalan perdana menteri (RM18,168.15 sebulan), menteri (RM14,907.20 sebulan), timbalan menteri (RM10,847.65 sebulan) serta gaji bulanan setiausaha Parlimen sebanyak RM7,187.40.

Beliau berkata, mengikut akta sama, turut dijelaskan peruntukan tentang pencen seseorang ahli atau anggota pentadbiran adalah mereka berhak mendapat apa-apa pencen, ganjaran dan faedah lain seperti ditetapkan.

“Seseorang yang berhenti menjadi ahli atau anggota boleh diberi pencen jika dia menyempurnakan syarat minimum 36 bulan perkhidmatan tetapi jika penamatan perkhidmatan disebabkan Parlimen bubar, kematian dan di bawah Per 48(1)(a) tidak sempurna akal, maka ada hak pencen walaupun belum cukup 36 bulan sebagai anggota,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Justeru katanya, jika tempoh perkhidmatan jemaah Kabinet sedia ada baharu mencapai tempoh 21 bulan, maka tidak mustahil mereka akan hilang kelayakan pencen seperti ditetapkan akta terbabit.

Sementara itu, Pakar Perlembagaan yang juga Felo Penyelidik Undang-undang dan Perlembagaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Muhammad Fathi Yusof turut senada dengan Nik Ahmad Kamal bahawa ahli atau anggota pentadbiran boleh diberi pencen jika dia menyempurnakan 36 bulan perkhidmatan mengikut akta berkenaan.

“Bagaimanapun jika kurang dari 36 bulan, seseorang ahli atau anggota itu akan hilang kelayakan mengikut akta berkenaan dan tidak akan mendapat pencen untuk jawatan menteri tetapi jika seseorang itu pernah menjadi ahli Parlimen atau menteri pada penggal sebelum ini, dia akan terus mendapat pencen tersebut tapi tidak bagi jawatan terkini dipegang yang tidak cukup tempoh,” katanya.

Katanya dalam kes sekarang, jika Parlimen bubar, jemaah Kabinet yang baharu memegang jawatan sudah tidak akan sempat mendapat pencen.

Loading...

Leave a Reply