Portal berita terbaik anda

Politik

Menoreh musim tengkujuh, Teresa Kok dikritik

SHAH ALAM – Kenyataan Menteri Industri Utama, Teresa Kok di Dewan Rakyat semalam yang mencadangkan penoreh getah menoreh pada musim tengkujuh dan menggalakkan ekonomi campuran terus dipertikai.

Presiden Sukarelawan Malaysia, Isham Jalil berkata penoreh bukan sengaja tidak produktif pada musim tengkujuh namun tidak boleh keluar menoreh ketika hujan.

“Mungkin YB Menteri tidak pernah pergi menoreh getah. Pada musim tengkujuh, penoreh tidak keluar menoreh sebab air hujan bercampur dengan susu getah yang menyebabkan hasil torehan tidak baik.

“Bukan kerana penoreh ini malas dan sengaja tidak produktif dan ambil cuti berbulan, YB. Tak menoreh, tak ada duit, tak makan. Mereka perlukan pendapatan waima pada musim tengkujuh pun,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau yang juga pegawai khas Datuk Seri Najib Razak berkata sejak merdeka, berdekad-dekad BN dan agensi berkaitan mengkaji untuk meningkatkan pendapatan penoreh.

“Takkanlah seluruh agensi kerajaan dan pegawai-pegawai kerajaan selama berpuluh tahun sebelum ini tidak tahu sekiranya penoreh getah boleh menoreh pada musim tengkujuh tapi sengaja tak mahu keluar?

“Sekali-sekala YB Menteri dengarlah nasihat penjawat awam dan janganlah asyik Google sahaja untuk dapatkan idea yang baru yang kononnya boleh meningkatkan produktiviti penoreh atau rakyat secara amnya,” katanya.

Semalam, Teresa ketika menjawab di Dewan Rakyat berkata kerajaan mahu penoreh keluar menoreh ketika musim tengkujuh.

“Kita nak menggalakkan penoreh ini walaupun pada musim tengkujuh, mereka masih keluar untuk menoreh getah supaya mereka boleh dapat pendapatan,” katanya.

Namun kenyataan itu dibantah Datuk Seri Ahmad Maslan sebelum Teressa dapat menghabiskan ayatnya.

“Musim tengkujuh tak boleh menoreh menteri. Cawan getah itu penuh dengan air. Tak kan YB menteri tak tahu bab itu?,” katanya.

Selepas beberapa celahan dibuat wakil rakyat BN, Teresa menjawab dengan mengulas soal bantuan kepada penoreh pada musim tengkujuh yang dibangkitkan.

“Bantuan musim tengkujuh ini kerajaan tidak mampu dan tidak menggalakkan produktiviti. Di Jelebu ada penoreh yang amalkan ekonomi campuran.

“Mereka tanam nanas, hasilkan jus, ternak ikan serta tanam sayur yang menjana pendapatan lumayan setiap bulan. Kita cuma nak menggalakkan ekonomi campuran untuk pekebun kecil ini,” katanya.

Sementara itu, Isham mengulas soal ekonomi campuran itu dengan menyifatkan pengkhususan pekerjaan menjamin produktiviti.

“Dalam ekonomi ada sesuatu perkara asas yang dinamakan pengkhususan kerja. Adalah lebih produktif dan efisien jika seseorang itu mengkhususkan pekerjaannya kepada satu bidang kerana kekangan masa, sumber dan kemahiran yang menambah lagi produktiviti.

“Penoreh yang sudah lama menoreh tahu bagaimana cara untuk menoreh dan bila untuk mendapatkan hasil tertinggi berbanding menteri yang baru belajar cara menoreh daripada Google,” katanya.

Loading...

Leave a Reply