Portal berita terbaik anda

Utama

‘Menggigil aku tengok kau cemarkan Islam’ – Zul Yahya ajak netizen boikot produk Nur Sajat

PELAKON Zul Yahya mengajak orang ramai memboikot produk keluaran syarikat milik ahli perniagaan kontroversi, Nur Sajat atau nama sebenarnya Muhammad Sajad Kamaruzzaman untuk memberi pengajaran kepadanya.

Ini berikutan tindakan usahawan kosmetik popular itu mengenakan pakaian jemaah wanita di Makkah ketika mengerjakan umrah sehingga tular di media sosial.

Zul menerusi video yang dimuat naik di Facebook berkata, usaha itu bukan untuk menutup rezeki Sajat, sebaliknya untuk membantunya.

“Kepada peminat dan ejen jualan Sajat, berhenti ambil produk Sajat. Bukan kita nak sekat rezeki tapi nak bagi pengajaran kerana kita sayangkan dia. Kita ambil tindakan supaya tak tersasar lebih jauh dan supaya dia sedar apa yang dia dapat hari ini datangnya daripada Allah SWT.

“Inilah masa untuk kita semua membantu agama kita. Bukan nak suruh semua orang mengangkat pedang dan berlawan, tapi mana yang tak betul dengan aturan agama kita, kita boikot,” katanya.

Dalam video berdurasi 16 minit 54 saat itu, Zul turut meluahkan kekesalannya sebagai masyarakat dan Islam berikutan tindakan Sajat itu.

Zul berkata, tindakan Sajat itu adalah sesuatu yang tidak mencerminkan akhlak seorang Muslim.

“Janganlah bodohkan diri anda dan orang lain dengan kebatilan anda. Saya ramai yang mempunyai kecenderungan seperti anda, tapi tidaklah seteruk ini.

“Kepada golongan ini, kalau nak pergi melakukan umrah atau apa juga ibadah yang menyukakan Allah SWT dan baginda Nabi Muhammad SAW, anda kena lihat asal usul anda dulu. Anda kena ikut hukum hakam yang betul dan jangan main ‘langgar’ saja,” katanya dalam nada marah.

Menurutnya, dia ada merujuk kepada ustaz mengenai bagaimana golongan mak nyah menunaikan umrah.

“Dia kata boleh dan tak ada masalah tapi kena ikut jantina anda. Kalau lelaki, pakai ihram dan kalau melakukan tawaf atau apa, pakai ihram,” katanya.

Dalam pada itu, Zul juga meminta pihak berwajib supaya mengambil tindakan terhadap situasi ini supaya Sajat tidak tersasar jauh dari Islam.

“Kepada pihak bertanggungjawab, saya minta tolong diperbetulkan perkara ini dan jangan biar ia menjadi satu perkara yang dipandang ringan. Ini bab agama, bab akidah dan kesucian agama kita,” katanya.

Video berkenaan mencatat ratusan ribu tontonan dan ribuan perkongsian. Rata-rata netizen menunjukkan reaksi sokongan kepada Zul atas pendapatnya serta mempertikaikan tindakan Sajat itu.’

Loading...

Leave a Reply