Portal berita terbaik anda

Utama

MB Terengganu tawar kepakaran siasat punca nahas Lion Air

KUALA TERENGGANU: Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sedia menawarkan kepakarannya dalam bidang analisis kejuruteraan aeroangkasa dan kejuruteraan penerbangan untuk membantu Indonesia dalam siasatan nahas pesawat Lion Air, semalam.

“Saya bersedia berkongsi kepakaran dengan jawatankuasa penyiasat yang ditubuhkan kerajaan Indonesia untuk menyiasat punca nahas sehingga mengorbankan 188 orang termasuk penumpang, juruterbang dan kru pesawat.

“Jika diminta atau ditawarkan kerajaan Indonesia, saya sedia membantu melaksanakan tugas ini sebagai tanggungjawab sosial,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Sanjungan Budi, Lambaian Kasih (Persaraan) bekas Pengurus Besar Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), Razaki Puteh di Taman Tamadun Islam (TTI), di sini, hari ini.

Turut hadir Pemangku Pengurus Besar PMINT, Wan Adnan Wan Derahman.

Ahmad Samsuri yang pernah menjadi Ketua Jabatan Kejuruteraan Aeroangkasa, Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia (UPM) turut terbabit sebagai penganalisis kejuruteraan aeroangkasa bagi tragedi kehilangan pesawat MH370 pada Mac 2014.

Beliau yang juga berkelulusan Doktor Falsafah (PhD) Kejuruteraan Mekanikal dari University Of Leeds, United Kingdom berkata, pelbagai kemungkinan boleh berlaku sehingga menyebabkan pesawat itu terhempas, termasuk masalah kerosakan enjin.

“Punca utama nahas pesawat itu hanya boleh diperoleh daripada perakam kokpit dan perakam data yang terdapat pada kotak hitam Lion Air JT610 yang dilaporkan tenggelam di dasar laut di lokasi nahas,” katanya.

Dalam kejadian malang semalam, pesawat Lion Air JT610 yang dalam perjalanan dari Jakarta ke pulau Pangkal Pinang, Sumatera, terhempas di perairan Karawang, Jawa Barat, Indonesia dan mengorbankan 188 nyawa.

Loading...

Leave a Reply