Mayat kanak-kanak jatuh jet ski ditemui, bapa masih hilang

MAYAT kanak-kanak yang hilang ketika bermain jet ski di sungai dekat Kampung Pangkalan Baru di sini semalam, ditemukan sekitar jam 9.20 pagi ini.

Mohd Firas Naufal Mohd Zarmizi, 4 tahun, berjaya ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) selepas lebih 15 jam dia dilaporkan hilang bersama bapanya.

Penemuan dibuat tidak jauh dari kawasan dia dilaporkan hilang.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Penolong Penguasa Bomba, Yus Heary Mahmud, jenazah Mohd Firas Naufal ditemukan pasukan SAR yang menyambung operasi pencarian jam 7 pagi tadi.

Bagaimanapun, bapanya Mohd Zarmizi Hussein, 37 tahun, masih belum ditemui.

Semalam, bapa mangsa dikatakan membawa anaknya untuk menguji sebuah jet ski yang baru dibeli di sungai berkenaan.

Mangsa dikhuatiri lemas apabila hilang di kawasan sungai berkenaan sekitar jam 6 petang.

Mangsa yang beralamat di Kampung Pengkalan Chengal di sini dikatakan ke sungai berkenaan bersama ahli keluarga.

Pencarian dilakukan membabitkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Bachok, Angkatan Pertahanan Awam serta polis.

Loading...
Published
Categorized as Utama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *