Portal berita terbaik anda

Utama

Mat Sabu bakal perkenal Tentera Pintar

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan Malaysia akan memperkenalkan pasukan ‘Tentera Pintar’ menerusi Kertas Putih Pertahanan (KPP) yang akan dibentangkan dalam persidangan Parlimen sebelum akhir tahun ini.

Menterinya, Mohamad Sabu berkata, walaupun cadangan itu masih peringkat draf dan telah diluluskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) namun beliau optimis ia akan menjadi keperluan mendesak kepada pertahanan negara pada masa akan datang.

“Antara draf awal KPP yang sudah diluluskan ialah kita pertahanan akan datang dalam bentuk moden terutamanya untuk mewujudkan Smart Army.

“Seorang tentera mampu mengendalikan termasuk alat-alat komputer, siber dan sebagainya.

“Kita jangka itulah pertahanan pada masa akan datang dan ditekankan hal-hal seperti itu dalam kertas putih kali ini,” katanya pada sidang media selepas Merasmikan Dialog Perwira 4/2019 Masyarakat Sivil dan Veteran KPP Mempertahankan Negara di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Pertahanan, Senator Liew Chin Tong dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Mohamad juga berkata, walaupun KPP akan menekankan soal ancaman keselamatan siber, namun aspek pertahanan negara menggunakan kaedah konvensional masih dikekalkan.

“Senjata-senjata tradisional itu tetap diperlukan seperti kapal (perang) dan kereta perisai.

“Tapi untuk pertahanan pada masa akan datang, kita akan libatkan penglibatan alat-alat moden seperti dron, UAV dan keselamatan siber, ini yang perlu ditekankan dalam kertas putih ini,” katanya.

Katanya lagi, beliau tidak menolak idea mewujudkan pasukan Tentera Pintar itu akan melibatkan penambahan kos kementeriannya dan ia mungkin boleh dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) atau sebagainya.

“Ya (kos bertambah) itu kita akan lihat dalam RMK12 dan RMK13 kita akan cuba memohon supaya peruntukan dalam bidang itu dapat ditingkatkan sesuai dengan perkembangan moden sekarang ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Loading...

Leave a Reply