Portal berita terbaik anda

Utama

‘Mamat’ akan ditangkap demi keselamatan penduduk kampung

KUALA TERENGGANU – “Sama ada penduduk kampung izinkan atau tidak, kami tetap akan menangkap buaya tembaga itu demi keselamatan orang ramai,” kata Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Terengganu Dr Abdul Malek Mohd Yusof.

Dr Abdul Malek berkata, pihaknya sudah memasang perangkap di lombong tinggal dekat Kampung Tepoh, Kuala Terengganu sejak semalam bagi menangkap buaya itu yang dipanggil Mamat.

“Kami tidak boleh berkompromi dengan keselamatan walaupun ramai yang beranggapan dan yakin buaya itu tidak berbahaya mahupun mengancam nyawa.

“Tabiat reptilia sukar diramal, bila-bila masa sahaja buaya boleh berubah menjadi ganas dan mengancam, justeru kami perlu menangkapnya segera mengikut prosedur standard operasi (SOP) sepatutnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut Dr Abdul Malek, pihaknya memasang satu perangkap dengan meletakkan ayam sebagai umpan.

Katanya, PERHILITAN tidak menangkap Mamat dua tahun lalu kerana beranggapan reptilia itu hanya mendiami lombong berkenaan sementara waktu sahaja dan ketika itu ia masih kecil.

“Kini ia semakin membesar dan dianggarkan sudah sepanjang empat meter. Sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini, PERHILITAN juga yang akan dipertanggungjawabkan,” katanya.

Buat masa ini, katanya, perangkap yang dipasang masih belum mengena dan usaha memanggil Mamat dari tebing seperti dilakukan penduduk juga gagal.

Akhbar sebelum ini melaporkan seekor buaya tembaga yang dipanggil Mamat atau Adik Mat muncul semula di lombong tinggal di Kampung Tepoh selepas dua tahun menghilang.

Kehadiran buaya yang jinak itu menarik ramai penduduk setempat untuk melihatnya dari dekat pada setiap petang.

Loading...

Leave a Reply