Portal berita terbaik anda

Politik

Mahathir tawarkan diri jadi PM semula selepas dapat sokongan PH

SHAH ALAM – Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menawarkan dirinya untuk menjadi calon Perdana Menteri.

Menurut Perdana Menteri Interim yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu, beliau juga akan menyampaikan perkara tersebut kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Pagi ini saya mengadakan pertemuan dengan pemimpin Pakatan Harapan (PH).

“Saya yakin bahawa saya mempunyai nombor (jumlah sokongan) yang diperlukan untuk mendapatkan sokongan majoriti dalam Dewan Rakyat.

“Oleh itu, saya bersedia untuk menjadi calon Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, beliau juga kekal dengan pendirian untuk tidak mahu bekerja dengan UMNO.

“Seperti yang saya berulang kali nyatakan, saya menentang sebarang bentuk kerjasama dengan individu yang dikenali sebagai perasuah serta menjadi sebahagian pentadbiran kleptokrasi.

“Prinsip ini juga saya telah sampaikan kepada pemimpin dan ahli Parlimen Bersatu dalam mesyuarat semalam,” katanya.

Katanya, beliau juga meninggalkan mesyuarat parti yang berlangsung di Yayasan Al-Bukhary lebih awal semalam bagi memberi ruang perdebatan dalam kalangan pemimpin dan ahli Parlimen Bersatu untuk menentukan calon Perdana Menteri.

Sementara itu, Majlis Presiden PH dalam kenyataan hari ini juga menyatakan sokongan kepada Dr Mahathir sebagai calon Perdana Menteri.

“PH menyatakan sokongan penuh terhadap Dr Mahathir sebagai calon Perdana Menteri.

“PH berpegang teguh kepada prinsip dan akan terus memperjuang manifesto PH dalam kerajaan,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, PH merupakan gabungan yang telah mendapat mandat jelas pada PRU14.

“PH bertegas menentang sebarang usaha ‘kerajaan pintu belakang’ terutama yang melibatkan kleptokrat dan pengkhianat perjuangan, yang akan merosakkan segala usaha reformasi yang telah dilaksana hingga kini,” katanya.

Loading...

Leave a Reply