Portal berita terbaik anda

Utama

Lubuk ‘makan orang’

Kejadian lemas pada 19 Disember 2015 meragut lima nyawa sekali gus.

Kejadian lemas pada 19 Disember 2015 meragut lima nyawa sekali gus.

KUALA BERANG – Air Terjun Belukar Bukit di sini, yang terletak kira-kira 20 kilometer dari bandar Kuala Berang merupakan salah satu destinasi perkelahan popular di daerah Hulu Terengganu.

Hamparan pasir memutih, air yang jernih dan kelihatan tenang di permukaan pastinya membuatkan sesiapa sahaja teruja untuk mandi-manda, ditambah pula dengan keindahan alam semula jadi.

Namun di sebalik itu, Air Terjun Belukar Bukit ini bagaikan menyimpan misteri tersendiri dan turut digelar lubuk mati lemas atau ‘tempat makan orang’ kerana hampir setiap tahun pasti ada nyawa yang diragut.

Mangsa lemas di Air Terjun Belukar Bukit lazimnya melibatkan pengunjung luar.

Terbaru, dalam kejadian Jumaat lalu, seorang lelaki berusia 22 tahun lemas ketika cuba menyelamatkan adik perempuannya berumur 21 tahun yang dihanyutkan air ketika mandi bersama beberapa ahli keluarga lain.

Kejadian terbaru Jumaat lalu, melibatkan seorang lelaki berusia 22 tahun yang lemas selepas cuba menyelamatkan adiknya.

Biarpun dikenali sebagai Air Terjun Belukar Bukit, namun kawasan perkelahan itu dikatakan tidak mempunyai air terjun, dan bagi penduduk setempat, mereka memanggilnya sebagai Lubuk Gala.

Difahamkan, di kawasan air terjun itu adanya satu lubuk dinamakan ‘Lubuk Berhala’ yang dikatakan mempunyai kisah kononnya terdapat berhala berbentuk seekor kucing di dalam lubuk tersebut.

Pusaran air sebesar kawah

Walaupun tidak dapat dipastikan sejauh mana kebenaran kisah itu, yang pasti kedalaman air di kawasan itu dipercayai mencecah 10 meter selain di dasarnya berbentuk satu kawah besar.

Papan tanda amaran dipasang pihak berkuasa tempatan. Gambar kecil, Maharam.

Seorang penduduk, Maharam Mat Zahari, 35, berkata, kes lemas di kawasan Air Terjun Belukar Bukit bukan kes luar biasa bagi penduduk setempat dan mangsa hanya melibatkan pengunjung luar.

“Orang kampung memang tidak mandi di kawasan ini sebab tahu bahaya. Permukaan air nampak tenang tetapi di bahagian bawah ada pusaran dan arus kuat yang boleh memerangkap mangsa.

“Kes paling menyayat hati melibatkan lima sekeluarga iaitu pasangan suami isteri dan tiga anak perempuan mereka pada Disember 2015. Kali terakhir, Mei 2017 membabitkan seorang pelajar politeknik.

“Sejak itu, agak lama penduduk di sini tidak dikejutkan kejadian lemas sehingga kes terbaru (Jumaat lalu) melibatkan seorang lelaki yang cuba selamatkan adik perempuannya,” katanya kepada Sinar Harian.

Penduduk kampung sering terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa lemas di Air Terjun Belukar Bukit bersama pasukan keselamatan.

Berikutan banyak kejadian lemas, Maharam mencadangkan pihak berkenaan memperbanyakkan papan tanda amaran supaya pengunjung luar lebih jelas tentang risiko yang menanti.

Menurutnya, sebelum ini pihak berkuasa ada memasang tali sebagai langkah keselamatan, tetapi ‘hilang’ berikutan arus deras pada musim tengkujuh.

Sumber: Sinar Harian

Loading...

Leave a Reply