Portal berita terbaik anda

Utama

LTTE: Lapan lelaki termasuk ADUN Gadek bebas

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini melepas dan membebaskan 8 lelaki termasuk Adun Gadek G Saminathan, daripada pertuduhan berkaitan kumpulan pengganas LTTE.

Perintah pembebasan itu dikeluarkan 4 Mahkamah Tinggi berasingan yang mendengar kes mereka, selepas dimaklumkan timbalan pendakwa raya bahawa peguam negara mengeluarkan arahan untuk tidak meneruskan prosiding terhadap semua tertuduh, mengikut Seksyen 254(1) Kanun Tatacara Jenayah.

Selain Saminathan, 35, 7 yang lain ialah juruteknik S Arivainthan, 28; pengawal keselamatan, M Pumugan, 30; ahli DAP, V Suresh Kumar, 44; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Teknologi Hijau Melaka, S Chandru, 39; seorang guru, Sundram Renggan @ Rengasamy, 53; pengutip besi buruk, A Kalaimughilan, 29 dan penghantar surat, S Teeran, 39.

Mengikut pertuduhan, semua mereka didakwa dengan pengetahuan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE, menggunakan aplikasi media sosial Facebook dan hadir pada majlis berkaitan kumpulan itu.

Pertuduhan mengikut Seksyen 130J (1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sepanjang hayat atau maksimum 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang digunakan atau diniat untuk digunakan bagi melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.

Sebahagian daripada mereka juga menghadapi pertuduhan memiliki item berkaitan kumpulan itu di bawah Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 7 tahun atau denda dan dilucutkan mana-mana item itu, jika sabit kesalahan.

Semalam, Mahkamah Tinggi sama melepas dan membebaskan ADUN Seremban Jaya P Gunasekaren dan pemandu teksi V Balamurugan atas pertuduhan serupa.

Ini menjadikan 10 lelaki dibebaskan setakat ini manakala 2 lagi iaitu penjaga stor, S Thanagaraj dan ahli perniagaan, B Subramaniam akan dibawa ke mahkamah dalam masa terdekat untuk dibebaskan.

Semua mereka sebelum ini ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) dan ditempatkan di Penjara Sungai Buloh, sementara menunggu perbicaraan. Di bawah Sosma mereka tidak dibenar diikat jamin.

Kes mereka belum dibicarakan dan masih di peringkat pengurusan kes. Bagaimanapun Mahkamah Tinggi menetapkan perbicaraan kes itu.

Pada 21 Feb lepas, Thomas dalam kenyataan medianya memutuskan untuk tidak meneruskan prosiding terhadap 12 tertuduh, atas alasan tiada prospek yang jelas untuk sabitan terhadap mana-mana 12 tertuduh ke atas mana-mana 34 pertuduhan yang dihadapi mereka.

Loading...

Leave a Reply