Portal berita terbaik anda

Hiburan

‘Logiknya mana ada orang mandi pakai baju’ – Hannah Delisha

PERNAH menyuarakan kebimbangan bakal menerima kecaman gara-gara aksi berkemban dalam filem Langsuir, pelakon Hannah Delisha menjelaskan dia terpaksa akur dengan kehendak watak tersebut.

Menurut Hannah atau nama sebenar Hannah Adlina Blackburne Birch, 21, dia sudah mengadakan perbincangan bersama pengarah, Osman Ali mengenai babak berkenaan supaya ia tidak menyinggung sensitiviti penonton.

“Sebenarnya saya sudah berbincang dengan pengarah untuk babak berkemban semasa mandi dan ketika hampir menjadi mangsa rogol, jadi kita buat keputusan untuk menutup sedikit bahagian tubuh dengan kain.

“Memandangkan ketika itu babak sedang mandi, jadi memang kena berkemban dan kalau fikirkan secara logik tak ada orang mandi pakai baju. Wanita zaman dahulu pun mandi berkemban dengan kain!,” katanya.

Hannah ditemui semasa tayangan perdana filem Langsuir yang diadakan di MM Cineplex, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Bercakap mengenai watak Suri, Hannah berkata bagi menghidupkan karakter tersebut dia mendengar muzik klasik dan belajar bertutur dalam bahasa baku.

“Untuk mendapatkan mood dan mengekalkan karakter, saya dengar muzik daripada tiupan seruling dan gamelan.

“Saya juga ada mendengarkan beberapa buah lagu dalam dialek Jawa dan perlu bertutur dalam bahasa baku bagi mendapatkan feel klasik itu.

“Tiada cabaran sepanjang penggambaran, cumanya saya kena berkaki ayam di kawasan berbatu. Alhamdulillah, semuanya berjaya dilakukan tanpa sebarang kesukaran,” ujarnya.

Selain Hannah Delisah, Langsuir turut dibintangi oleh Syafiq Kyle, Firdaus Nadxaman, Julia Farhana, Daaim Jailani, Shahkimin, Nazri John dan Halim Radzi.

Filem seram romantik ini bakal menemui penonton dipawagam bermula 20 September depan.

Loading...

Leave a Reply