Portal berita terbaik anda

Utama

Lepas isu Jalur Gemilang bintang lima bucu, bendera Perak pula dikesan terbalik

KUALA LUMPUR — Mana-mana negara pun, bendera menjadi lambang penting yang perlu dijaga martabatnya. Walau ia hanya diperbuat daripada kain, bendera adalah simbol patriotik sesebuah negara berdaulat.

Justeru, sebarang pelecehan ke atasnya sering kali mengundang masalah dan kemarahan ramai. Terbaru, paparan Jalur Gemilang yang salah — hanya ada lima bintang — dalam Kejohanan Bola Keranjang Milo Lum Mun Chak di sini kelmarin menimbulkan kekecohan.

Selepas kejadian berkenaan, isu bendera sekali lagi mencuri perhatian ramai apabila seorang warga maya mendedahkan bendera Perak pula dipamer secara terbalik pada jersi pemain bola keranjang.

“Ini bendera Perak Darul Ridzuan ke negeri lain? Buat hal betul,” tulis Amar Izzuden merujuk tangkap layar Facebook Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) yang dikirim ke Twitter semalam.

Foto berkenaan menunjukkan pemain Perak memakai jersi merah dengan bendera negeri dalam keadaan terbalik di kejohanan sama.

Sepatutnya, warna putih berada di atas, diikuti kuning dan hitam, tapi benderaan tersebut terbalik pula dengan jalur hitam paling atas.

Namun semakan mendapati, foto berkenaan sudah tidak ada di Facebook persatuan itu, berkemungkinan dipadam.

Hantaran Amar dikongsi lebih 800 pengguna, malah ia turut mendapat perhatian penyanyi dan pelakon Adibah Noor.

Sementara itu, setiausaha persatuan bola keranjang Perak berkata hanya satu daripada 24 jersi salah cetak dengan jalur bendera negeri berkenaan terbalik.

“Daripada 24 jersi, hanya satu salah cetak. Ia dilakan pembekal tanpa disengajakan,” kata Tan Tiang Seng yang kesal dengan kesilapan berkenaan. Sambil memohon maaf, beliau berjanji masalah tersebut tidak akan berulang.

Sebelum ini, (MABA) dalam laman webnya memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia dan pencinta sukan bola keranjang atas kesilapan membabitkan imej Jalur Gemilang.

Pihak mereka mendakwa petugas siaran langsung tersilap memaparkan bendera pada skrin besar ketika upacara itu.

Loading...

Leave a Reply