Portal berita terbaik anda

Utama

Lepas ‘detox’, TRX berjaya tarik pembiayaan RM2.15 bilion – Guan Eng

SHAH ALAM – “Projek Tun Razak Exchange (TRX) berjaya menarik pembiayaan RM2.15 bilion daripada bank-bank antarabangsa hasil ‘detox’ dilakukan kerajaan PH,” kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Menurut Guan Eng lagi, selepas mengambil alih pentadbiran negara 9 Mei tahun lalu daripada BN, kerajaan baharu segera menjalani proses semakan semula dan pembersihan aset.

Jelasnya lagi, sebelum ini projek berkenaan terpalit dengan unsur-unsur penyelewengan, salah guna kuasa berkaitan 1 Malaysia Development (1MDB) oleh pemimpin kerajaan terdahulu.

“Selepas usaha ‘detox’, TRX Exchange kini adalah projek bebas rasuah yang mendapat kepercayaan pelabur di dalam dan luar negara.

“Ini dibuktikan dengan pelaburan RM2.15 bilion menerusi syarikat usaha sama Lendlease, syarikat pemaju dari Australia, dan TRX City Sdn Bhd,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook miliknya, hari ini.

Guan Eng juga yakin selepas ini lebih banyak pelabur antarabangsa akan berminat untuk menyertai projek bernilai tinggi itu.

“Saya percaya lebih banyak pelabur akan tertarik dengan projek ini, yang boleh menjadi satu projek global bertaraf antarabangsa selepas dibersihkan daripada isu-isu berkaitan dengan 1MDB,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan PH mendakwa lebih daripada RM3 bilion dana kerajaan untuk TRX City Sdn Bhd (TRXC) telah diselewengkan oleh 1MDB ketika di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

TRXC adalah pemilik dan pemaju induk dua projek hartanah yang sebelum ini diletakkan di bawah kawalan 1MDB.

Loading...

Leave a Reply