Portal berita terbaik anda

Utama

Lelaki reka cerita dikompaun RM10,000 untuk elak beri wang pada ibu

Wanita yang mendakwa anak lelakinya telah dikenakan kompaun RM10,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) memohon maaf kepada aktivis Kuan Chee Heng atau Uncle Kentang.

Chee Heng berkata, wanita tersebut memberitahu anaknya sengaja mereka dakwaan itu sebagai alasan untuk tidak memberikan wang belanja kepadanya.

“Lelaki Cina tersebut di percayai ingin melepaskan diri dari tanggungjawab hantar duit pada mak lalu menceritakan pada mak dia beliau telah disaman RM10,000.

“Setelah mak dia menelifon melalui video call jam 11.30 malam dan memarahi saya sebagai aktivis tak lawan saman RM10,000.

“Emak lelaki telah menelifon saya untuk meminta maaf. Saya juga menyatakan saya juga tertipu atas fakta yang emak beri pada saya dan saya ingin memohon maaf atas kekhilafan Fakta yang menimbulkan kegusaran mana mana pihak,” kata Chee Heng.

Semalam Chee Heng membuat hantaran di Facebooknya bahawa wanita tersebut menangis dalam panggilan video selepas anaknya tidak dapat mengantar duit kepadanya kerana telah disaman sebanyak RM10,000.

Menurut wanita itu, anaknya yang bekerja sebagai tukang masak di Ipoh telah didenda ketika berehat di belakang restoran untuk menghisap rokok.

Anak wanita itu memberitahu tidak dapat menghantar wang kepadanya kerana terpaksa berhutang dengan restoran untuk membayar saman dan gajinya telah dipotong.

“Kita akan bantu jumpa Kementerian Kesihatan untuk merekodkan rayuan kami.

“Mak kata dia akan mati lagi baik kerana anak tak akan mampu bayar ubat kencing manis dan ubat darah tinggi beliau kerana duit gaji habis bayar kompaun RM10,000 jika rayuan tak diterima,” kata Chee Heng dalam satu hantaran.

Bagaimanapun Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz menafikan dakwaan itu.

Menurutnya, semakan mendapati tiada kompaun dikeluarkan oleh pasukan pemeriksa SOP PKPB Polis Diraja Malaysia (PDRM) Daerah Ipoh.

“Semakan lanjut dengan pemilik akaun Facebook Kuan Chee Heng mendapati pengadu gagal dihubungi menerusi nombor telefon yang diberikan bagi membuat pengesahan dakwaan yang ditularkan.

“Satu laporan polis telah dibuat oleh Ketua Polis Balai Kampung Rapat mengenai perkara yang tular tersebut bagi menyiasat punca sebenar dakwaan itu,” katanya.-SM

Loading...

Leave a Reply