Lelaki pandu Volkswagen didakwa curi ayam mentah untuk bisnes ayam golek

Tatkala beberapa negeri sudah diberikan kelonggaran untuk melakukan aktiviti perniagaan, ramai orang merebut peluang tersebut bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Namun, lain pula terjadi di negeri Kedah apabila seorang pembekal ayam segar mengalami kerugian apabila ayam-ayamnya dicuri sekitar pukul 4 pagi pada minggu lalu.

Kejadian itu disedarinya apabila dia melihat rakaman CCTV dan mendapati ada sebuah Volkswagen Golf GTI berada di hadapan kedainya sekitar jam 3.30 pagi.

Apabila memeriksa CCTV di dalam kedainya, alangkah terkejutnya dia apabila seorang lelaki telah memanjat masuk ke dalam lalu mengambil berpuluh-puluh ekor ayam yang disimpan di dalam tong ais.

Namun cerita tersebut tidak terhenti di situ sahaja kerana pencuri-pencuri tersebut dirakam menjalankan perniagaan ayam golek dipercayai di hadapan medan selera Bandar Puteri Jaya di sekitar kawasan Sungai Petani.

Difahamkan bakul-bakul yang digunakan untuk meletakkan ayam segar tersebut turut dicuri daripada pembekal ayam segar dari lokasi lain. Menurut pemilik bakul tersebut, pencuri-pencuri itu sudah lama melakukan kegiatan ‘curi ayam’ di sekitar kawasan Sungai Petani dan kali ini semua aktiviti mereka telah terakam pada CCTV sebagai bukti.

Rata-rata orang ramai mengecam tindakan pencuri tersebut yang menaiki kereta ‘sporty’ import namun mencuri ayam segar milik orang lain untuk dijadikan modal jualan perniagaan ayam golek mereka.

Dengan bukti-bukti yang terakam pada CCTV ini, para netizen berharap kesemua pencuri tersebut akan ditangkap oleh pihak berkuasa dalam masa terdekat dan dikenakan hukuman yang setimpal setelah menyebabkan kerugian kepada pembekal ayam segar yang tidak bersalah.

Loading...

Leave a Reply