Portal berita terbaik anda

Utama

Laporan polis dibuat terhadap program selfie Najib

KUALA LUMPUR – Laporan polis telah dibuat semalam dipercayai oleh penyokong Pakatan Harapan (PH) terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung penganjuran program ‘Selfie Bersama DSN’ di Pulau Langkawi bertarikh hari ini.

Perkara itu didedahkan oleh Najib sendiri dalam laman Facebook beliau sebentar tadi dengan memuat naik gambar laporan polis tersebut.

Dalam laporan berkenaan, pengadu yang bernama Shukor Bahari, sebagai Timbalan Pengerusi PH membuat laporan polis setelah ternampak iklan dalam satu akaun Facebook mengenai program ‘Selfie Bersama DSN’ yang dijangka berlangsung di Dataran Chenang pada hari ini bermula pukul 8 pagi hingga 10 malam.

Jelasnya dalam laporan itu, beliau dan rakan-rakan mewakili PH Langkawi hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi semalam untuk membuat laporan polis supaya pihak berkuasa menyiasat dan meninjau program berkenaan sekiranya tidak mendapat permit dan mempunyai unsur-unsur hasutan serta perkauman yang menyalahi undang-undang.

Najib dalam reaksinya terhadap perkara tersebut terkejut apabila program berswafoto bersamanya turut dilaporkan kepada pihak berkuasa.

“Buat ‘selfie’ pun salah? Sampai ada beberapa orang perlu membuat laporan polis terhadap saya?

“Rileks-lah. Saya ke sini untuk jalan-jalan, sembang-sembang dan makan ikan bakar sahaja. Tahun lepas hendak sekat saya main Facebook, sekarang nak larang saya swafoto dengan kawan-kawan. Apa lagi selepas ini?” katanya dalam akaun Facebook beliau. – UTUSAN ONLINE

Loading...

Leave a Reply