Portal berita terbaik anda

Utama

KWSP sifatkan aset ESG ‘vaksin’ kepada semua krisis

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menyasarkan portflio pelaburan mereka akan mematuhi amalan persekitaran, sosial dan tabdir urus (ESG) menjelang 2030.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tunku Alizakri Raja Muhammad Alias, strategi melabur dalam aset berkualiti ESG akan menjadikan pelaburan mereka berdaya tahan dalam persekitaran pasaran yang mencabar.

“Kami percaya ESG adalah vaksin kepada apa juga krisis.

“Pada 2020, kami melihat kepada aset yang mematuhi ESG, dan kami dapati meskipun ketika kemuncak penularan COVID-19, ia merosot pada kadar lebih rendah berbanding aset lain,” katanya dalam temu bual bersama Bloomberg TV.

Untuk rekod, indeks FTSE bagi ekuiti yang terlibat secara signifikan dalam persekitaran meningkat 37 peratus pada 2020.

Alizakri berkata strategi pelaburan KWSP dalam tempoh COVID-19 akan turut melihat syarikat yang menerima manfaat besar akibat pandemik.

“Kami melihat kepada sektor yang menerima manfaat susulan COVID-19. Syarikat teknologi yang menggunakan rangkaian sosial bersepadu tanpa perlu sebarang interaksi sosial.

“Syarikat pembuatan cip juga menarik kerana orang ramai kini sedar kepentingan teknologi,” katanya.

Sementara itu Alizakri berkata pengisytiharan darurat memberikan satu bentuk kestabilan buat pasaran.

“Daripada perspektif pasaran, ia membawa banyak kepastian dan keadaan normal buat pasaran yang tidak menentu. Bagi kami, kami suka kestabilan pada waktu sebegini,” katanya.

Loading...

Leave a Reply