Portal berita terbaik anda

Utama

Kuah laksa Terengganu kini boleh didapati di dalam tin

KUALA TERENGGANU: Selepas kejayaan mengeluarkan pelbagai produk makanan dalam tin bermutu tinggi, Pertima Terengganu Sdn Bhd (PERTIMA) kini menghasilkan satu lagi inovasi iaitu kuah laksa Terengganu.

Walaupun baru sembilan bulan dihasil dan dikomersilkan, kuah laksa Terengganu yang menjadi sajian tradisional masyarakat di negeri ini mendapat sambutan baik selepas ditinkan.

Pengurus Besar PERTIMA, Ruzeli Abu Bakar, berkata penemuan inovasi baharu iaitu kuah laksa Terengganu dihasilkan selepas kajian mendapati masyarakat negeri ini yang bekerja di luar Terengganu menghadapi masalah untuk mendapatkan sajian itu.

Beliau berkata, kuah laksa Terengganu yang ditinkan mula dihasilkan Mac lalu dan berjaya menembusi pasar raya besar di seluruh negara terutama di Kuala Lumpur.

“Bahan asas utama sajian tradisional iaitu laksa mudah diperoleh, tetapi masyarakat sukar untuk mendapatkan kuah berikutan kaedah penghasilannya mengambil masa dan memerlukan campuran bahan mentah lain termasuk ikan segar.

“Berdasarkan sambutan menggalakkan, kita menyasarkan dapat mengeluarkan kira-kira 50,000 tin kuah laksa Terengganu dalam tempoh satu tahun,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di kawasan Perindustrian Chendering, di sini, hari ini.

PERTIMA adalah syarikat milik penuh Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) dan kilang pengeluar sardin milik Bumiputera pertama di negara ini.

Ruzeli berkata, selain menghasilkan kuah laksa, PERTIMA juga berjaya menghasilkan inovasi baharu apabila mengeluarkan kuah sate Terengganu yang juga ditinkan untuk dipasarkan di seluruh negara.

Katanya, cara penyediaan dua produk itu memudahkan pengguna yang hanya memerlukan masa dua minit untuk memanaskannya sebelum dihidangkan.

Dalam perkembangan lain, Ruzeli berkata, PERTIMA juga diberi kepercayaan dan tanggungjawab oleh badan bukan kerajaan (NGO) yang menganjurkan majlis korban di Kemboja, Arab Saudi, Turki, Afrika dan Syria untuk mengetinkan daging korban termasuk lembu dan kambing.

Katanya, NGO di negara itu akan menghantar daging korban mentah untuk diproses termasuk dimasak dan ditinkan.

“Selepas melalui proses mengetinkan, daging korban itu akan dihantar semula kepada NGO di negara berkenaan untuk diagihkan kepada penduduk miskin di negara berkenaan,” katanya.

Loading...

2 Comments

  1. zainab abdul manap

    Ouh….
    Patut la cik nab cuba cari kuah laksa dlm tin ni kat kedai dua ringgit , hampeh x jumpa pon.
    Rupa²nya , ia hanya b’jya mnembusi psarrya besar saje.

    Nmpk gaya , cik nab hanya mampu tgk gambar je la.
    😢

  2. zainab abdul manap

    Nsem gak cik nab tgk encik ruzeli abu bakar tu.
    Muka dia ada iras² si shaari , org pling handal tangkap belalang kunyit kat kg cik nab tinggal sini.

Leave a Reply