Portal berita terbaik anda

Utama

Koronavirus: Kerajaan belum cadang wajib pakai topeng muka

IPOH – Kerajaan belum bercadang mewajibkan pemakaian topeng muka bagi mengelak jangkitan koronavirus di negara ini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, langkah-langkah pengawalan dan pencegahan daripada virus tersebut merebak ke dalam komuniti dilakukan dengan baik.

Menurutnya, sebarang pemakaian topeng muka setakat ini adalah pilihan sendiri dan kerajaan tidak menghalang sebarang penggunaannya.

“Untuk sementara waktu, kita tidak cadangkan wajib pakai topeng muka kerana akan cetuskan panik. Kita masih berjaya kawal masuk dalam komuniti. Jadi jangan panik sangat.

“Di Malaysia setakat ini kita masih tidak ada komuniti transmision virus jadi tak perlu sekat dari segi penganjuran program awam,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Jamuan Tahun Baru Cina 2020 anjuran Dewan Perhimpunan Cina Perak di sebuah hotel, di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis berkenaan, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Konsul General China di Pulau Pinang, Lu Shi Wei, Presiden Dewan Perhimpunan Cina Perak, Dato’ Chai Wang Yook dan Exco-exco kerajaan Perak.

Dalam pada itu, Boon Chye menegaskan, sebarang kajian atau survei awam yang dijalankan pihak tertentu mengenai pemakaian topeng muka tidak boleh dijadikan dasar kerajaan.

Menurutnya, dalam soal berkaitan kesihatan, pandangan daripada pakar-pakar perlu menjadi rujukan sebelum sesuatu dasar diputuskan.

“Kita boleh buat kajian tapi biarlah munasabah. Bukan semua kajian dan pandangan orang ramai itu digunakan untuk menentukan dasar mesti munasabah dan berasas.

“Seharusnya kita dengar daripada pakar-pakar sama ada perlu pakai topeng muka atau tidak,” katanya sebagai mengulas mengenai satu undian yang dibuat sebuah stesen televisyen mengenai pemakaian topeng muka.

Sementara itu, Boon Chye mengingatkan orang ramai supaya terus memantau perkembangan dari semasa ke semasa mengenai virus tersebut daripada Kementerian Kesihatan.

Loading...

Leave a Reply