Portal berita terbaik anda

Utama

Koronavirus: Enggan dikuarantin, pasangan China bawa keluar anak dari hospital

KANAK-kanak lelaki warga China berusia dua tahun yang mempunyai simptom koronavirus dipercayai dibawa keluar dari sebuah hospital di Johor Bahru oleh ibu bapanya, semalam.

Ibu bapanya didakwa tidak mahu anak mereka dikuarantin kerana dikatakan mahu menaiki penerbangan ke China, awal pagi ini.

Sumber berkata, seorang doktor berusia 26 tahun menerima kanak-kanak berkenaan sebagai pesakit di sebuah hospital awam di Johor Bahru pada jam 10.18 malam kelmarin.

“Pemeriksaan mendapati kanak-kanak itu mempunyai simptom influenza seperti demam dan batuk. Menurut doktor terbabit, pesakit itu datang ke hospital awam berkenaan atas rujukan sebuah hospital swasta.

“Mengikut surat rujukan itu, pesakit mempunyai demam, batuk dan demam kejung yang tidak diakui oleh ibu bapanya. Pemeriksaan dilakukan mengesahkan pesakit mempunyai demam virus yang dipercayai koronavirus,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, doktor berkenaan bersama pakar kanak-kanak hospital terbabit sudah memaklumkan kepada ibu bapanya bahawa pesakit perlu dipindahkan ke sebuah hospital awam lain untuk dikuarantinkan dan siasatan lanjut.

“Namun, bapa kanak-kanak itu enggan memasukkan anaknya ke hospital terbabit atas sebab mereka mempunyai tiket penerbangan ke China kira-kira jam 10 pagi, hari ini.

“Walaupun sudah diberikan penjelasan bahawa pihak berkuasa di lapangan terbang tidak akan membenarkan mereka meneruskan perjalanan berikutan suhu badan anaknya yang tinggi, bapa kanak-kanak itu tidak menerima nasihat dan mahu anaknya dirawat dengan ubat demam dan batuk saja,” katanya.

Menurutnya, tindakan ibu bapa pesakit berkenaan menyebabkan doktor terbabit membuat laporan polis berhubung kejadian itu,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Superintendan Mohd Afzanizam Yahya ketika dihubungi, hari ini, mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.

“Laporan diterima daripada seorang doktor yang bertugas di wad kecemasan hospital berkenaan 4.20 pagi tadi.

“Kami merujuk semula kepada pihak hospital untuk tindakan memandangkan pesakit sudah keluar tanpa notis dibenarkan keluar wad (discharge).

“Malah, keluarga pesakit juga enggan dia dipindahkan ke sebuah hospital awal lain untuk dikuarantinkan,” katanya.

Terdahulu, tular mesej di media sosial yang memaklumkan seorang warga China disahkan positif koronavirus melarikan diri daripada rawatan awal di hospital awam di Johor Bahru jam 4.20 pagi tadi.

Mesej itu juga menyatakan alamat terakhir pesakit itu terletak di sebuah apartmen Gelang Patah, Johor.

Loading...

Leave a Reply