Portal berita terbaik anda

Utama

KKM jangka kes Covid-19 naik mendadak selepas Aidilfitri

KES Covid-19 akan meningkat selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri sekiranya rakyat tidak mematuhi prosedur ditetapkan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya jangkaan itu berdasarkan data dan pengalaman negara lain yang menyaksikan peningkatan kes mendadak selepas sambutan perayaan besar.

“Kebimbangan kita adalah musim perayaan. Berdasarkan pengalaman dan data dari negara luar, apabila ada musim perayaan, selepas dua minggu ada peningkatan mendadak,” katanya.

Oleh itu rakyat perlu mematuhi prosedur ditetapkan dan juga mengelak daripada menziarahi sanak saudara.

“Elak sama sekali kunjung-mengunjung, patuh penjarakan, kerap cuci tangan dan elak perhimpunan,” pesan beliau lagi dalam sidang media hari ini.

Dr Noor Hisham juga berkata, kelonggaran melalui Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat sejak 4 Mei lalu berjaya kerana tiada peningkatan kes mendadak.

Walaupun ia kurang berkesan menurunkan kes seperti kawalan lebih ketat melalui Perintah Kawalan Pergerakan dalam empat fasa sejak 18 Mei, ia tidak meningkatkan kes secara mendadak, katanya.

Oleh itu, masyarakat perlu bertanggungjawab mengamalkan kawalan kendiri untuk memastikan kes tersebut tidak meningkat mendadak, katanya.

“Semoga kita dapat patuh supaya jumlah kes kekal angka dua digit dan kurangkan lagi kes,” katanya.

Terdahulu beliau mengumumkan 78 kes baharu, yang merupakan peningkatan besar berbanding 50 yang dilaporkan semalam, dan juga satu korban baharu menjadi jumlah 115 maut kerana Covid-19.

Sebanyak 25 daripada 78 kes tersebut merupakan kes import, katanya.

Jumlah keseluruhan jangkitan Covid-19 kini berjumlah 7,137 dan sebayak 1,163 daripadanya masih aktif dan sedang dirawat di hospital. – 22 Mei, 2020.

Loading...

Leave a Reply