Portal berita terbaik anda

Utama

Khazanah jual 100 peratus pegangan dalam Prince Court RM1.02 bilion

KUALA LUMPUR – Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) bakal melupuskan 100 peratus pegangan dalam Prince Court Medical Centre Sdn Bhd (PCMC) kepada IHH Healthcare Bhd (IHH) bernilai RM1.02 bilion secara tunai.

Khazanah menerusi anak syarikat tidak langsungnya, Pulau Memutik Ventures Sdn Bhd (Pulau Memutik) menandatangani perjanjian pembelian saham dengan Pantai Holdings Sdn Bhd, anak syarikat tidak langsung milik penuh IHH bagi urus niaga itu.

Khazanah mengambil alih PCMC pada 2018 bertujuan memperkukuhkan sektor perkhidmatan penjagaan kesihatan di Malaysia serta mempromosikan Kuala Lumpur sebagai destinasi pilihan bagi penjagaan kesihatan berkualiti di rantau ini.

“Namun, berdasarkan mandat baharunya, Khazanah telah membuat keputusan untuk melupuskan pegangannya dalam PCMC kepada IHH, platform penjagaan kesihatan milik Khazanah.

“Cadangan pelupusan yang diumumkan pada hari ini akan membolehkan PCMC menerima manfaat daripada kemasukannya ke dalam operasi IHH di Malaysia serta rangkaian globalnya yang lebih luas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Khazanah berkata, pelupusan pegangan itu juga bakal terus memperkukuhkan kedudukan IHH secara keseluruhannya dalam pasaran perkhidmatan penjagaan kesihatan domestik sementara terus menerima sokongan berterusan daripada Khazanah menerusi pembabitannya dalam IHH.

Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Shahril Ridza Ridzuan, berkata urus niaga itu adalah selaras dengan mandat baharu kumpulan serta akan meningkatkan kecairan Khazanah bagi tujuan keperluan modal pelaburan masa hadapan.

“Di samping itu, Khazanah yakin bahawa PCMC akan mendapat manfaat daripada pengalaman luas IHH dalam penyediaan penjagaan kesihatan premium selain memantapkan kedudukan IHH sebagai salah sebuah pengendali penjagaan kesihatan utama di Malaysia, yang mana Khazanah kekal sebagai salah satu pemegang saham utama dengan pegangan kepentingan 26.04 peratus di dalamnya.

“Transaksi ini, antara lainnya, tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa yang berkaitan serta para pemegang saham IHH yang lain. Khazanah menjangkakan urus niaga itu akan dimuktamadkan pada suku pertama 2020,” katanya.

Loading...

Leave a Reply