Portal berita terbaik anda

Politik

Kes SRC: Najib pilih bela diri menerusi keterangan bersumpah

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memilih untuk membela diri terhadap semua tujuh tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram menerusi keterangan bersumpah.

Ia selepas Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohd Nazlan Mohd Ghazali memberi arahan kepada Najib untuk membela diri atas semua pertuduhan membabitkan dana RM42 juta untuk kes syarikat SRC International Sdn Bhd (SRC).

Mohd Nazlan kemudian menetapkan 10 hari iaitu 3, 4, 9 hingga 12 dan 16 hingga 19 Disember ini untuk Najib dibicarakan.

Perbicaraan kes SRC sebelum ini ditangguhkan selama tiga kali berikutan peguam bela Harvinderjit Singh mengambil cuti sakit pada 24 Julai dan perkara sama berlaku kepada Najib apabila bercuti sakit selama tiga hari pada 14 Ogos lalu.

Sementara untuk kali ketiga, pada 15 Julai lalu, apabila Najib dibenarkan menghadiri sidang Dewan Rakyat bagi perbahasan dan pengundian Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan untuk menurunkan had umur mengundi di negara ini daripada 21 kepada 18 tahun.

Bagaimanapun prosiding hanya ditangguhkan setengah hari.

Perbicaraan kes berprofil tinggi itu yang mengambil masa selama 58 hari di peringkat kes pendakwaan disifatkan antara yang paling singkat berlangsung.

Najib berdepan tiga dakwaan pecah amanah jenayah (CBT), tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kuasa.

Menurut Mohd Nazlan, Najib mempunyai kepentingan dalam SRC dan mempunyai kawalan keseluruhan menyebabkan RM42 juta didepositikan ke dalam akaunnya bagi kepuasannya.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 4 (1) (b) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFA) 2001.

Jika sabit kesalahan, Najib boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda dari nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, atau mana-mana jumlah yang lebih tinggi.

Loading...

Leave a Reply