Kes Altantuya mungkin akan dibuka semula

KUALA LUMPUR – Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas dijangka membuka semula kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu, yang didakwa mempunyai kaitan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Dua bekas pegawai polis dari Unit Tindakan Khas (UTK), Azilah Hadri dan Sirul Azhar yang juga pengawal pengiring Najib disabitkan kesalahan membunuh wanita berkenaan pada 2006.

“Semua orang mengetahui bahawa adalah tidak masuk akal bahawa hanya kedua-dua mereka yang dipersalahkan. Kita tahu bahawa cerita itu tidak lengkap,” kata Tommy dalam temubual bersama Bloomberg, Jumaat lalu yang disiarkan hari ini.

Mahkamah menjatuhkan hukuman mati terhadap Azilah dan Sirul yang dilihat tidak mempunyai motif menyakinkan, manakala kenyataan akuan bersumpah (SD) terbaru oleh Azilah menunjukkan ada fakta terhadap sebab pembunuhan.

“Lebih banyak untuk polis melakukan siasatan dan kami akan melihatnya,” katanya apabila ditanya jika beliau akan membuka semula kes berkenaan.

Azilah sebelum ini memohon supaya Mahkamah Persekutuan menyemak semula keputusan bersalah dan hukuman mati terhadapnya dengan membuat kenyataan bersumpah yang mengejutkan.

Dalam kenyataan itu, Azilah antara lain mendakwa bahawa Najib yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri mengarahkan beliau menahan, seterusnya membunuh Altantuya didakwa sebagai ejen pengintip asing yang mengancam keselamatan negara.

Najib menafikan sebarang pembabitannya dalam kes itu, malah turut melakukan sumpah laknat, Jumaat lalu, dengan menyatakan beliau tidak pernah membuat arahan berkenaan atau bertemu Altantuya.

Pendirian Peguam Negara itu dilihat memberi kelegaan kepada bapa Althantuya, Shaariibuu Setev yang sejak lebih sedekad lalu cuba untuk mencari keadilan di atas kematian anak perempuannya.

Malah, beliau mendesak pihak berkuasa Malaysia membawa pulang seorang daripada suspek pembunuhan anak perempuannya, yang melarikan diri ke Australia, supaya dapat memberi maklumat sebenar di sebalik kes berkenaan.

Loading...
Published
Categorized as Utama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *