Portal berita terbaik anda

Politik

Kerjasama UMNO-Pas ibarat ‘perompak’ dengan ‘penipu’ – Khalid Samad

PAN menyifatkan penggabungan antara Umno dengan Pas adalah gabungan antara perompak dengan penipu dan bakal menjadi gabungan yang mantap.

Dalam temubual secara langsung di Jom Channel malam tadi, Pengarah Komunikasi PAN, Khalid Samad berkata, Umno dan gabungannya telah dijatuhkan dalam pilihan raya lalu kerana merompak wang negara.

Pas pula, katanya, melalui pemimpinnya, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz telah mengaku berbohong menjelang pilihan raya lalu apabila berkata bukan suara beliau dalam audio yang ditularkan.

Selepas pilihan raya, Nik Abduh pula berkata, beliau mengaku berbohong dengan kebenaran pemimpin Pas sendiri.

Bahkan beliau mendakwa ayahanda beliau sendiri, bekas Mursyidul Am Pas, juga pernah menipu.

Bagi Khalid, apabila kedua-dua kumpulan ini berganding bahu ia akan menghasilkan satu gabungan yang ampuh.

“Bila penipu dan perompak ini berganding bahu, memang susahlah kita nak lawan,” kata Khalid dalam wawancara itu.

Bagi Khalid, gabungan ini menjadi lagi ampuh apabila perompak dan penipu ini menggunakan kaum dan agama untuk mempertahankan mereka.

“Bila perompak bekerjasama sesama mereka, kita mudah hendak lawan. Tetapi apabila perompak ini bekerjasama dengan penipu dan memakai baju keagamaan pula… waw ini bermakna perompak boleh bermaharajalela,” kata Khalid yang juga Menteri Wilayah Persekutuan itu.

Bagi Khalid, perompak akan sentiasa mencari seorang penipu yang dianggap oleh orang sebagai orang yang baik untuk menjadi pembela kepada dirinya.

“Saya yakin, ini satu gandingan yang akan berkesan,” kata Khalid dalam wawancara bertajuk “Apabila penipu dan perompak berganding bahu” itu.

Ketika ditanya, kenapa penipu itu sanggup pula membela perompak itu, Khalid berkata, “Mungkin dia telah dapat komisyen dia.”

Pas dan Umno baru-baru ini mengisytiharkan mereka bergabung secara rasmi dan melangsungkan kenduri kahwin 5 Mac lepas.

“Kita bertunang di Seri Setia, hari ini kita buat kenduri kahwin dah ni,” kata Datuk Seri Mohamad Hassan pemangku Presiden Umno dalam sidang media selepas mesyuarat pertama peringkat tertinggi kedua-dua parti.

Loading...

Leave a Reply