Portal berita terbaik anda

Politik

Kereta terbang program paling tak guna, kata perwakilan PAN

Perwakilan PAN hari ini meluahkan rasa kecewa terhadap program kereta terbang yang dibawa oleh Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd Redzuan Md Yusof.

Wakil Pahang, Mohd Fadzil Mohd Ramly berkata program tersebut merupakan projek paling tidak berguna yang dilakukan kerajaan.

“Apa yang berlaku kami di bawah malu muka untuk pertahankan kereta terbang, antara program yang paling tak guna dilakukan oleh kerajaan.

“…malu muka kita nak pertahankan isu kereta terbang pada rakyat,” katanya ketika membahaskan Pidato Presiden di Konvensyen Nasional 2019 PAN di Pusat Konvenysen Darul Ehsan (IDCC), Shah Alam, hari ini.

Kementerian Pembangunan Usahawan pada 29 November lalu menjelaskan ia tidak mempunyai peruntukan dan kuasa untuk meluluskan dana bagi tujuan pelaburan dalam sebarang projek dron.

“Projek ini (super drone) diterajui oleh sektor swasta dan dibiayai sepenuhnya oleh syarikat tempatan,” kata kementerian dalam suatu kenyataan.

Kementerian itu juga memaklumkan RM20 juta yang disediakan Might (Kumpulan Industri Kerajaan Malaysia bagi Teknologi Tinggi) itu tiada kaitan dengan pembangunan projek dron dan kereta terbang/super drone (mobiliti udara) yang dibangunkan oleh Aerodyne Group.

PAC dalam laporannya mengenai projek super drone yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 29 Nov lalu menyatakan Menteri Pembangunan Usahawan Mohd Redzuan Yusof membuat pengumuman terlalu awal mengenai projek tersebut.

Menurut laporan berkenaan, PAC juga mendapati Might melalui VentureTech Sdn Bhd (VTSB) telah meluluskan pelaburan dalam Aerodyne sebanyak RM20 juta yang disalurkan pada 1 November lepas.

PAC juga meminta Jabatan Audit Negara (JAN) supaya membuat pengauditan terhadap pelaburan RM20 juta itu.

Loading...

Leave a Reply