Kereta terbang bukan untuk dijual – Menteri

ALOR GAJAH: Kereta terbang yang bakal direalisasikan kerajaan tahun ini hanya untuk kegunaan industri pengangkutan dan bukan untuk dijual kepada orang awam.

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Redzuan Md Yusof, berkata ketika ini pelbagai syarikat gergasi dunia mahu mendapatkan maklumat lanjut mengenai pembangunan prototaip itu.

Justeru, beliau berkata perkara itu menunjukkan perkembangan positif, sekali gus berupaya menarik pelaburan dan keyakinan kepada negara.

“Kita buat bukan untuk dijual (kepada orang awam). Contoh F1 (Formula Satu), orang tak beli, tapi naik sahaja.

“Setakat ini, saya dihubungi syarikat gergasi dunia bertanyakan mahu melihat pelan asas (blueprint) dan ia satu tarikan pelaburan. Ini juga beri keyakinan dalam pembangunan berskala angkasa (aerospace). Pihak Grab juga ada menyuarakan mahu menggunakan kereta terbang untuk perkhidmatan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan hadiah kepada peserta Karnival Keusahawanan 2019 pekarangan Masjid Kampung Beringin, Durian Tunggal, di sini, hari ini.

Beliau turut yakin, infrastruktur seperti pembinaan jambatan dan jalan raya dapat dikurangkan dalam tempoh lima tahun akan datang jika kereta terbang itu mampu direalisasikan.

“Ini penting untuk kerajaan dekati teknologi dan bersaing dengan negara maju lain. Bukan sahaja menarik pelaburan malah membuka peluang pekerjaan.

“Yang negatif dan skeptikal, biarlah. Sesiapa yang tidak memahami hasrat kerajaan untuk membangunkan negara terpulang,” katanya.

Loading...

Leave a Reply