Kerajaan tidak berniat untuk kurangkan penerima BSH

KUBANG PASU – Kerajaan tidak pernah berhasrat untuk mengurangkan jumlah penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) seperti yang didakwa pelbagai pihak, namun mahu memastikan hanya mereka yang benar-benar layak menikmati bantuan tersebut.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ir. Amiruddin Hamzah berkata, urusan permohonan yang dianggap sukar itu merupakan sebahagian proses pemutihan daripada senarai penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebelum ini yang tidak sepatutnya menerima bayaran tersebut.

Baca: OKU terkilan tak layak dapat bantuan

Menurutnya, syarat-syarat yang dikenakan terhadap permohonan BSH juga sebagai langkah untuk mengelak proses itu menjadi terlalu longgar sehingga membolehkan ada pihak yang mengambil kesempatan terhadap bantuan bersasar itu.

“Asasnya adalah untuk kita buat pemutihan kerana apa sahaja pemberian yang hendak diberikan adalah bersyarat dan perlu dipatuhi, namun bukan kita bertujuan saja-saja nak kurangkan penerima tetapi sesiapa sahaja yang layak akan tetap dapat.

“Tetapi kita kerajaan yang mendengar suara dan rintihan rakyat. Jika sampai ke peringkat yang menyukarkan saya fikir ada pilihan lain untuk kita pastikan mereka ini layak berdasarkan syarat-syarat itu,” katanya selepas menyertai acara berbasikal santai di Taman Pulasan, di sini hari ini.

Beliau mengulas dakwaan pelbagai pihak kononnya kerajaan sengaja mahu mengurangkan jumlah penerima BSH berbanding BR1M dengan mengenakan syarat yang ketat termasuk perlu mengemukakan sijil nikah bagi permohonan dibawah kategori keluarga.

Tambah Amiruddin, kerajaan khususnya Kementerian Kewangan sentiasa mengkaji semula proses dari semasa ke semasa bagi memudahkan permohonan tersebut supaya mereka yang layak akan tetap menerima BSH.

“Sekiranya masalah ini (sijil nikah) ketara di seluruh negara saya ingat kementerian akan lihat balik dan mencari jalan keluar yang lain agar lebih mudah.

“Namun, apa-apa pun tujuan kita adalah untuk pastikan mereka yang penuhi syarat dapat BSH, tapi tidaklah kita berhasrat menyukarkan mereka sehingga pemohon yang layak pun jadi tak layak hanya kerana semata-mata nak memenuhi syarat itu,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Amiruddin berkata, amaun bayaran BSH kategori bujang bagi fasa pembayaran seterusnya masih dalam peringkat perbincangan dan akan dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet untuk mendapatkan persetujuan. -UTUSAN ONLINE

Loading...

Leave a Reply