Portal berita terbaik anda

Utama

Kerajaan tahu di mana Jho Low – Muhyiddin

Kerajaan mengetahui lokasi terbaru ahli perniagaan kontroversi Jho Low yang kini dalam buruan, kata Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Beberapa hari lepas kami dapat info terkini. Kita tahu di mana dia, katanya dialah, dan mungkin kita dapat bekerjasama pihak-pihak tertentu di negara itu, mana dia berada,” katanya ketika menggulung perbahasan kajian separuh penggal Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) di Dewan Rakyat hari ini.

Muhyiddin bagaimanapun berkata Low yang merupakan individu utama dalam skandal 1MDB, bijak mengelakkan diri daripada pihak berkuasa dengan berpindah daripada satu tempat ke tempat lain.

“Dia boleh bergerak dengan mudah kalau dia ada kemudahan dan disokong oleh orang tertentu,” katanya.

Justeru itu beliau berharap pihak berkuasa dapat membawa Low kembali ke negara ini pada masa yang sesuai.

Anggota Parlimen Pagoh itu turut menafikan kenyataan C Sivarraajh (BN-Cameron Highland) bahawa kerajaan sengaja melengah-lengahkan proses menangkap Low sehingga pilihan raya umum akan datang.

Sementara itu, RSN Rayer (PH-Bukit Jelutong) menyatakan kebimbangan terhadap kemampuan pihak polis selepas Datuk Seri Hishammuddin Hussein (BN-Sembrong) menawarkan diri untuk membawa Jho Low balik je negara ini.

Muhyiddin berkata sesiapa sahaja boleh menawarkan diri untuk membawa pulang ahli perniagaan berkenaan.

“Kalau YB di sebelah sana tahu, dia boleh tangkap bagi kita tak ada masalah,” katanya.

Beliau menegaskan terdapat anggota parlimen BN lebih mengenali Jho Low.

“Saya fikir kawan-kawan di sebelah sana lebih banyak kenal Jho Low, dan di kalangan yang ramai itu ada bilangan tertentu yang lebih dekat, yang asal dia kata dia tak tau tapi banyak bukti gambar sebenar dia duduk sama-sama,” katanya tanpa menamakan sesiapa daripada BN.

Ogos lalu kerajaan memfailkan pertuduhan jenayah terhadap Low dan bapanya Low Hock Peng “tanpa kehadiran tertuduh” (in absentia), atas dakwaan penyelewengan wang 1MDB

Pihak berkuasa Malaysia kini bekerjasama dengan pelbagai negara termasuk Amerika Syarikat dan Peguam Negara Switzerland untuk mengembalikan wang yang didakwa dicuri daripada syarikat pelaburan negara itu.

Loading...

Leave a Reply