Kerajaan benarkan kedai makan beroperasi sehingga 10 malam

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju melanjutkan operasi kedai makan, restoran dan perkhidmatan penghantaran sehingga 10 malam, mulai esok.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan mendengar rintihan rakyat yang mahu operasi kedai makan dilanjutkan berbanding sebelum ini hanya terhad kepada 8 malam.

“Trending di media sosial mengenai rungutan orang ramai apabila kedai makan dan restoran ditutup awal iaitu 8 malam.

“Saya katakan kerajaan mendengar setiap pandangan dan rungutan rakyat.

“Sidang khas hari ini bersetuju melanjutkan operasi kedai makan, restoran dan khidmat penghantaran sehingga 10 malam mulai esok,” katanya dalam sidang media PKP di sini, hari ini.

Beliau berkata, pelanjutan itu turut membabitkan gerai, kenderaan bersaji, penjaja tepi jalan, penjaja beredar, medan selera, pusat penjaja, gerai makan tepi jalan atau kios yang dibenarkan beroperasi antara 6 pagi hingga 10 malam.

Menurutnya, aktiviti penjualan makanan hanya dibenarkan secara bawa pulang, pandu lalu atau penghantaran sahaja.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, Kementerian Sumber Manusia (KSM) berkata, seramai 184,607 pekerja warga asing menjalani ujian saringan Covid-19 membabitkan 6,869 majikan dan 845 klinik setakat hari ini.

“Daripada jumlah ini, sebanyak 3,655 disahkan positif Covid-19 manakala 180,952 lagi negatif.

“Dalam usaha memutuskan rantaian penularan Covid-19 dalam kalangan pekerja warga asing, kerajaan menguatkuasakan ujian saringan Covid-19 di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) dan menguatkuasakan Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

“Mana-mana majikan yang gagal mematuhi arahan ini akan dikenakan tindakan undang-undang dan penalti,” katanya.

Loading...
Published
Categorized as Utama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *