Kenderaan rasmi rosak, Mas Ermieyati minta rakan Puteri Umno hantar ke tempat program

ALOR GAJAH: Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin hampir sahaja menggunakan perkhidmatan Grab gara-gara kenderaan rasminya rosak bagi menghadiri majlis di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hang Kasturi, Masjid Tanah, di sini, pagi ini.

Mas Ermieyati berkata, kelewatannya kira-kira sejam bagi majlis rasmi itu kerana gagal untuk mendapatkan Grab di kawasan Masjid Tanah walaupun beberapa kali ingin mencuba mendapatkan rangkaian perkhidmatan e-hailing berkenaan.

“Saya sepatutnya memang menaiki kenderaan rasmi pagi ini tetapi masalah bateri kereta menyebabkan saya mengambil keputusan untuk menggunakan perkhidmatan Grab buat kali pertama.

“Namun, beberapa kali mencuba taliannya agak sibuk. Saya kemudian terpaksa meminta pertolongan rakan baik dari Puteri UMNO untuk menghantar ke majlis rasmi ini. Saya pandu sendiri kereta manual ke sekolah,” katanya berseloroh.

Mas Ermieyati berkongsi pengalaman itu pada sidang media selepas Majlis Pelancaran ‘Program Guru Penyayang dan Salam Hormat’ di SMK Hang Kasturi, di sini, hari ini.

Yang hadir sama, Pengetua SMK Hang Kasturi, Noridah Ab Rahim.

Mas Ermieyati berucap pada program Guru Penyayang dan Salam Hormat di SMK Hang Kasturi, Masjid Tanah.

Dalam perkembangan lain, Mas Ermieyati berkata, beliau berharap setiap masjid dan surau di daerah Masjid Tanah dapat mewujudkan ‘gerobok kebajikan’ bagi berkongsi rezeki pelbagai keperluan harian kepada yang memerlukan.

“Ketika kali pertama saya memperkenalkan konsep ini kira-kira dua tahun lalu, ada yang pelik dan tidak kurang juga ada yang malu untuk mengambil barangan keperluan secara percuma.

“Konsep ini patut diperluaskan di semua masjid dan surau kerana ramai pihak sebenarnya yang ingin membantu walaupun sumbangan tidak sebesar mana, tapi sekurang-kurangnya kita dapat menyumbang sesuatu kepada masyarakat,” katanya.

Untuk rekod, daerah Masjid Tanah, di sini, mempunyai sebanyak 41 masjid dan 176 surau.

Loading...
Published
Categorized as Utama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *