Portal berita terbaik anda

Politik

Kenapa tak boleh tunggu lagi tiga tahun? – Mat Sabu

KLANG – Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu meluahkan rasa hairan apabila Perikatan Nasional (PN) tidak sanggup menunggu tiga tahun lagi untuk menang dalam pilihan raya.

Bekas Menteri Pertahanan itu berkata berdasarkan pencapaian Barisan Nasional yang telah memenangi beberapa pilihan raya kecil (PRK) sejak kebelakangan ini, mereka sepatutnya tidak gusar dan memilih menggunakan pintu belakang untuk menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan.

“Saya banyak kali kalah dalam pilihan raya. Pergi ceramah dengan (Datuk Seri) Saifudin, (Datuk Seri) Anwar Ibrahim, orang datang ramai tapi akhirnya kalah. Termenung saya dibuatnya.

“Tahun 2008 kita perhebatkan kempen dan ceramah, dapatlah lima negeri. Tapi 2013 kita hilang dua, tinggal tiga. Tahun 2018, Tun Mahathir Mohamad menyertai kita dan akhirnya kita menang.

“BN baru hilang kerajaan 2018. Tanda-tanda kamu nak menang dah ada, PRK banyak yang kamu menang.

“Kenapa tak boleh tunggu? Kalau kami boleh tunggu 60 tahun, kenapa kamu tak boleh tunggu lima tahun?” tanya beliau.

Ahli Parlimen Kota Raja itu juga menyifatkan isu perkauman yang dimainkan PN sebagai isu lapuk yang sengaja dibangkitkan untuk mengapi-apikan kemarahan rakyat, sedangkan kemusnahan negara sebelum ini didalangi oleh UMNO dan Barisan Nasional.

“Kita boleh bincang dengan DAP, dengan NGO sebelum ambil sebarang keputusan. Kenapa nak pergi balik kepada isu perkauman?

“Rasuah atau mencuri pun tak mengapa, asalkan dia Melayu,” sindir beliau.

Beliau berkata demikian ketika memberi ceramah dalam siri pertama Jelajah Harapan di Taman Sri Andalas, Klang, pada Sabtu.

Ceramah itu turut disertai Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke dan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, dan dihadiri kira-kira 700 orang penduduk setempat.

Loading...

Leave a Reply