Portal berita terbaik anda

Utama

Kenaikan yuran Taska tahun depan bukan isu besar

KUALA LUMPUR: Yuran taman asuhan kanak-kanak (TASKA) dijangka meningkat antara 10 hingga 30 peratus berikutan kos penyelenggaraan dan penetapan gaji minimum tahun depan.

Presiden Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia (PPBM), Norsheila Abdullah, berkata hakikat itu tidak boleh dielakkan berikutan gaji minimum RM1,100 turut membabitkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang perlu ditanggung majikan.

“Kenaikan ini bukan isu besar kerana saya rasa memang wajar, bukan saja kerana penetapan gaji minimum, tetapi pengajar juga perlu memiliki ilmu dengan pelbagai kemahiran termasuk mengikuti Kursus Asuhan dan Didikan Awal Kanak-Kanak Permata (KAP) yang turut mengenakan bayaran tertentu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi hari ini berhubung yuran TASKA yang dijangka meningkat tahun depan.

Bagaimanapun, katanya kenaikan yuran dan bayaran bulanan TASKA itu dijangka banyak membabitkan TASKA kawasan bandar yang turut berhadapan isu lain termasuk sewa premis dan makanan.

Tinjauan di Internet mendapati secara purata, yuran bulanan dikenakan bagi jagaan bayi di TASKA swasta di ibu kota ialah antara RM450 hingga RM500 sebulan.

Norsheila berkata walaupun TASKA selalu dikaitkan dengan ‘perniagaan’ kerana ada transaksi bayaran daripada ibu bapa kepada pengusaha, hakikatnya ia menawarkan perkhidmatan yang mana tenaga pengajarnya perlu dikemaskini dengan ilmu berhubung pendidikan awal kanak-kanak.

“Selari dengan hasrat kerajaan mensasarkan tenaga pengajar TASKA perlu memiliki diploma, gaji diberikan kepada pekerja juga seharusnya meningkat, bukan gaji tahap pengasuh semata-mata.

“Kenaikan ini sebenarnya bertepatan dengan modul dan pengisian ditawarkan TASKA. Saya kira ibu bapa sanggup melabur untuk bayi dan kanak-kanak kerana semakin ramai dalam kalangan generasi kini yang tahu mustahaknya pendidikan awal kanak-kanak,” katanya.

Loading...

Leave a Reply