Portal berita terbaik anda

Utama

Kenaikan gaji minimum terlalu mendadak akan beri kesan dalam sektor IKS

KUALA LUMPUR: Kenaikan gaji minimum terlalu mendadak akan memberi kesan dan bebanan kepada majikan terutama dalam sektor Industri Kecil dan Sederhana (IKS).

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar mengakui kerajaan mengetahui kritikan berhubung keputusan menaikkan kadar gaji RM1,050 yang disifatkan terlalu kecil namun ia dilakukan mengambil kira kepentingan semua pihak.

“Kerajaan maklum kadar kenaikan tidak begitu tinggi tetapi kena tengok rasional lebih luas bagi elak kos operasi meningkat secara mendadak.

“Kos operasi majikan akan meningkat kita kena ambil kira mereka perlu caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, gaji lebih masa dan sebagainya dan kemudian kena tengok juga kedudukan ekonomi negara.

“Kita tidak mahu peningkatan ini akan membebankan kira- kira 90 peratus daripada sektor IKS,” katanya dalam Sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Rasah Cha Kee Chin.

Jelas Mahfuz kenaikan gaji minimum RM1,050 hanya bersifat gaji lantai ditetapkan kerajaan dimana pihak kesatuan boleh berunding dengan pihak majikan untuk memberi faedah lain kepada pekerja.

“Sebagaimana kita sedia maklum dasar gaji minimum adalah salah satu dasar ‘intervensi’ kerajaan sebenarnya banyak dasar lain yang dibuat kerajaan untuk membantu terutama kepada golongan B40.

“Ia merupakan gaji lantai dimana pekerja tidak boleh dibayar kurang daripada itu.”

Dasar kenaikan gaji minimum merupakan antara salah satu manifesto Pakatan Harapan.

Bagaimanapun kerajaan Pakatan Harapan dikritik kerana kenaikan yang terlalu kecil cuma RM50 daripada RM1,000 sebelum ini.

Selain itu beliau berkata berdasarkan Perintah Gaji Minimum di bawah Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 membenarkan kerajaan menyemak gaji minimum dalam tempoh dua tahun sekali.

“Akta ini membenarkan kita untuk menyemak purata gaji minimum ini dalam dua tahun sekali atau mungkin lebih singkat dalam tempoh setahun jika ada keperluan.”

Loading...

Leave a Reply