Portal berita terbaik anda

Utama

Keluarga susah hanya jamah nasi berulamkan gula, bubur kosong

JOHOR BAHRU – Berbeza dengan kebanyakan keluarga yang dapat menikmati hidangan lazat sewaktu berada di rumah ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sebuah keluarga di Taman Cendana di Pasir Gudang, di sini hanya mampu menjamah nasi ‘berulamkan’ gula serta bubur kosong sejak empat hari lepas bagi mengalas perut.

Roslan Aliudins, 30, berkata dia tidak mampu menghidangkan makanan lazat kerana sudah kehabisan wang simpanan setelah tidak dapat bekerja sebagai pendawai sejak pelaksanaan PKP.

Katanya, dia bersama isteri, Nurul Nisa Irmin, 26, dan anak lelaki mereka, Mohamad Danial, 4, mengalas perut dengan hidangan itu menerusi beras dan gula hasil sumbangan Persatuan Penduduk Taman Cendana.

“Saya bekerja sendiri, kalau ada pelanggan, maka adalah duit, saya rasa putus asa apabila tidak dapat bekerja, tetapi kita kena faham wabak ini bahaya.

“Sebenarnya ada beberapa pelanggan yang menelefon meminta saya membaiki pendawaian elektrik di rumah mereka, tetapi saya terpaksa menolak,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Roslan yang berasal dari Lahad Datu, Sabah bekerja sebagai pendawai sejak 10 tahun lepas dengan pendapatan kira-kira RM800 sebulan.

Kesusahan Roslan sekeluarga mendapat perhatian pasar raya Econsave Cash and Carry yang sudi menghulurkan bantuan bekalan makanan kepada mereka hari ini.

Pengurus Operasi Econsave Wilayah Selatan, Mas Imran Adam berkata, pihaknya berbesar hati memberi sumbangan barangan keperluan asas bukan sahaja kepada keluarga Roslan malah kira-kira 3,000 penerima di kawasan perumahan terbabit.

Beliau berkata, sebanyak tiga tan sayur-sayuran dan 220 kilogram ikan turut diagihkan kepada setiap rumah dengan kesemua makanan terbabit disumbangkan para pembekal sayur serta ikan.

“Untuk permulaan, bantuan ini dimulakan di Taman Cendana tetapi hari ini, kami juga menerima banyak panggilan dan pesanan menerusi WhatsApp yang meminta kami menghantarkan bekalan makanan ke kawasan lain.

“Jadi, kami berharap kalau ada pembekal sayur-sayuran atau buah-buahan yang sebelum ini menghantarnya ke kantin, kedai makan dan mungkin ada gred agak rendah, kalau sekarang ini mereka tidak dapat pasarkan barangan mereka, salurkanlah kepada kami untuk kami edarkan kepada orang ramai,” katanya. – BERNAMA

Loading...

Leave a Reply