Portal berita terbaik anda

Utama

Kelantan negeri termiskin di Semenanjung

Kelantan dicatatkan sebagai negeri yang mempunyai statistik tertinggi miskinnya antara negeri di Semenanjung Malaysia, kata Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Senator Dr Mohd Radzi Md Jidin.

Menurut beliau, secara keseluruhan negeri Cik Siti Wan Kembang itu merupakan negeri ketiga tertinggi statistik kemiskinan selepas Sabah dan Sarawak.

“Statistik kemiskinan bagi bulan Jun 2019 menunjukkan miskin tegar di Kelantan adalah seramai 6,218 orang, manakala miskin adalah seramai 31,217 orang,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Kongres Sosioekonomi Kelantan 2019 anjuran Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di Kota Bharu, hari ini.

Program tersebut dirasmikan oleh Tengku Temenggong Kelantan merangkap Pro-Canselor UMK Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz, hadir sama Naib Canselor UMK, Profesor Dr Noor Azizi Ismail.

Sementara itu pada sidang medianya Mohd Radzi menjelaskan, kadar kemiskinan negeri Kelantan adalah 0.4 peratus, sama dengan peratusan kadar kemiskinan nasional.

Katanya, apa yang perlu difahami (peratusan) itu adalah berdasarkan data kajian dan tinjauan yang dilaksanakan.

“Dan pada masa sama bila kita turun ke bawah, kita lihat ada kumpulan yang masih ketinggalan, itu hakikat kita harus terima.

“Daripada segi data e-Kasih Kelantan antara penerima tertinggi, itu tunjukkan kemiskinan masih wujud.

“Kita tak mahu salahkan sesiapa, program hari ini kita mahu cari jalan bagaimanakah kita dapat bawa bersama seluruh rakyat Kelantan dapat rasa nikmat pembangunan,” katanya.

Bagaimanapun tambah beliau, apa yang berlaku pada masa lalu terhadap negeri Kelantan perlu dilupakan.

“Tinggalkan apa yang lepas, kerajaan Pakatan Harapan komited untuk pastikan wilayah-wilayah ketingggalan dibawa bersama dalam arus pembangunan negara. Jadi apa kita inginkan (supaya) rakyat Kelantan rasai apa dirasai di seluruh negara.

“Jika kita lihat ekonomi itu terkumpul di Kuala Lumpur, jadi hakikat data tunjukkan memang rakyat Kelantan masih ramai ketinggalan.

“Contohnya penerima pinjaman Amanah Ikhtiar Malaysia antara teramai dari Kelantan dan data-data ini menunjukkan bahawa mereka masih perlu dibantu,” kata Mohd Radzi.

Loading...

Leave a Reply