Portal berita terbaik anda

Politik

Kegagalan kerajaan PH laksana janji 100 hari sudah dijangka – Mohamed Khaled

JOHOR BAHRU: Barisan Nasional (BN) Johor sudah menjangkakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak akan mampu melaksanakan janji manifeso dalam 100 hari kerana semua janji tersebut tidak boleh dilaksanakan, kata Pengerusinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau juga menyifatkan faktor hutang negara yang tinggi sebagai penyebab PH tidak mampu laksanakan semua janji 100 harinya sebagai alasan semata-mata.

“Contohnya, penghapusan Cukai Barang dan Perkhidmatan tanpa ada ganti, kini mereka (kerajaan) ada masalah (sumber pendapatan),” katanya kepada pemberita selepas perasmian mesyuarat UMNO Cawangan Desa Perwira, di sini hari ini.

Mengulas perkembangan lain, Mohamed Khaled yang juga Pengerusi UMNO Johor menegaskan operasi parti itu masih berjalan dengan baik di semua peringkat cawangan dan bahagian.

Beliau turut menafikan berlaku pemimpin dan anggota UMNO keluar parti beramai-ramai namun mengakui terdapat anggota bertindak keluar UMNO semata-mata kerana mengikut parti yang membentuk kerajaan.

Mohamed Khaled juga berkata UMNO Johor sedang menjalankan pemutihan anggotanya.

Mengenai gesaan veteran UMNO agar semua pengerusi UMNO negeri meletak jawatan, beliau berkata gesaan tersebut tidak masuk akal kerana jika semua pemimpin UMNO meletak jawatan maka parti tersebut tidak akan dapat bergerak.

“Kalau semua sekali letak jawatan, akhirnya macam mana parti hendak gerak,” katanya.

— Bernama

Loading...

Leave a Reply