Portal berita terbaik anda

Utama

Kanak-kanak maut dirempuh kenderaan ketika melintas jalan

KUALA PILAH – Seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun maut selepas dirempuh kenderaan ketika melintas jalan di Kilometer 8, Jalan Kuala Pilah-Rembang Panas, dekat sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.50 pagi itu, mangsa, Sofiya Umairah Ab. Rahman disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Amran Mohd. Ghani, berdasarkan siasatan awal, pemandu kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux iaitu seorang lelaki dalam perjalanan dari arah Bahau menuju ke Seremban.

“Sebaik sampai di tempat kejadian mangsa dipercayai dari arah kiri rumah datuknya telah berlari melintas ke kanan jalan ke rumah ibu saudaranya.

“Pemandu kenderaan yang berada di laluannya tidak dapat mengelak lalu melanggar mangsa dan tercampak ke bahu kiri jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Amran berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik yang tiba di lokasi kejadian kemudiannya.

“Mayat mangsa dibawa ke bahagian forensik Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah untuk proses bedah siasat. Ujian air kencing telah dijalankan ke atas pemandu kenderaan berkenaan dan didapati negatif.

“Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. – UTUSAN

Loading...

Leave a Reply