Portal berita terbaik anda

Utama

Kanak-kanak antara 5 rentung dalam kebakaran di Klang

KLANG – Seorang kanak-kanak lelaki rentung manakala empat yang lain mati dipercayai akibat lemas terhidu asap tebal dalam kebakaran melibatkan lima buah rumah di Kampung Delek Kanan di sini hari ini.

Pengarah Bomba Selangor, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Norazam Khamis berkata, panggilan kecemasan diterima pihaknya pada jam 3.56 pagi.

“Seramai 34 anggota dan pegawai bersama enam jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Raja, Pelabuhan Klang dan Andalas bergegas ke lokasi kejadian.

“Mayat seorang lelaki warga Kemboja di sebuah rumah manakala empat sekeluarga termasuk seorang wanita Kemboja dan seorang kanak-kanak lelaki ditemukan di sebuah rumah lagi,” katanya melalui kenyataan hari ini.

Menurutnya, sederet rumah setingkat berkeluasan 100 x 20 kaki persegi itu musnah 90 peratus

“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 4.20 pagi dan kerja-kerja pemadaman sedang dilakukan,” katanya.

Bilik mandi, kolah air jalan terakhir selamatkan diri

Empat mangsa mati yang ditemukan dalam bilik mandi dipercayai menjadikan ruang itu sebagai jalan terakhir untuk menyelamatkan diri selepas rumah diduduki mereka di Kampung Delek Kanan di sini terbakar awal pagi tadi.

Ubaidilah Ayob, 48, juga seorang warga Kemboja terendam dalam kolah air di sebuah rumah, manakala tiga lagi mangsa berada di dalam bilik air kediaman sebelah ketika ditemukan pasukan bomba selepas berjaya mengawal kebakaran yang berlaku kira-kira jam 3.30 pagi tadi.

Pengarah Bomba Selangor, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Norazam Khamis berkata, Ubaidilah ialah mangsa pertama ditemukan dalam keadaan terendam di dalam kolah, manakala tiga individu di bilik mandi dalam rumah kedua.

“Tiga individu itu iaitu seorang penjual pakaian dikenali Fauzi Daut, 44, dan isterinya warga Kemboja, Sarimah Yusuf 37, bersama kakak iparnya Fauziah, 50.

“Mayat anak saudaranya Mohd Amirudin Ali berusia 12 tahun pula kita jumpa di luar bilik mandi dalam keadaan rentung,” katanya.

Menurutnya, bomba percaya mangsa gagal mencari perlindungan dan menjadikan bilik mandi sebagai jalan terakhir untuk menyelamatkan diri selepas mendapati pintu belakang rumah terkunci.

“Rumah yang dibina pada tahun 1994 ini tidak mempunyai ciri-ciri keselamatan seperti tiada dinding pemisah yang mungkin menyebabkan api marak dengan cepat.

“Kebakaran disyaki bermula dari rumah yang diduduki Ubaidilah, namun penghuni di tiga buah rumah bersebelahan lain sempat menyelamatkan diri,” katanya.

Loading...

Leave a Reply