Jufazli Shi Ahmad mahu saman PDRM sebanyak RM10 bilion

BEKAS ahli DAP, Jufazli Shi Ahmad mahu menyaman pihak polis sebanyak RM10 bilion kerana bertindak menyerbu kediamannya di Bukit Segar, Cheras tanpa mengikut undang-undang.

Jufazli, 32, juga menuntut permohonan maaf dari PDRM kerana menggeledah rumahnya tanpa waran tangkap.

Terdahulu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmad berkata tindakan rampasan dan penggeledahan itu dilakukan mengikut Seksyen 248 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggeledahan dan penyitaan tanpa waran oleh seorang pegawai polis yang berpangkat tidak rendah daripada Inspektor.

“Saya tegaskan bahawa tindakan yang dijalankan oleh pasukan serbuan adalah mengikut peruntukan undang-undang dan kuasa-kuasa menyiasat yang telah ditetapkan,” katanya.

Mengulas berkenaan serbuan, jelasnya, pihak Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang telah melakukan serbuan ke kediaman Jufazli pada 26 Februari lalu kira-kira pukul 3 pagi.

“Serbuan tersebut dilakukan bagi mengesan seorang individu dikenali Jufazli bagi membantu siasatan. Namun sejak kes ini dilaporkan, dia masih lagi gagal untuk tampil berjumpa dengan Pegawai Penyiasat walaupun telah dipanggil beberapa kali.

“Pada malam kejadian juga, pihak polis telah berada kira-kira 30 minit di hadapan pintu rumahnya, bagaimanapun dia masih lagi gagal untuk memberikan kerjasama walaupun polis telah memperkenalkan diri dengan secukupnya,” ujarnya.

Menurut beliau, keengganannya memberikan kerjasama menyebabkan polis tiada pilihan lain selain terpaksa menyerbu masuk ke kediaman itu bagi memastikan siasatan dan pemeriksaan mengesan barang-barang kes berkaitan dapat dilakukan.

Katanya, pihaknya mengesyaki kemungkinan barang-barang kes yang berkaitan telah dilenyapkan dan kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan 233 Akta komunikasi dan Multimedia.

Loading...
Published
Categorized as Utama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *