Portal berita terbaik anda

Utama

Jual nasi berlauk RM3.50 mahu bantu golongan kurang mampu

Bukan mudah untuk mengekalkan harga makanan murah di zaman yang serba mahal ini, namun bagi seorang peniaga kedai makan di Kampung Losong Atap Zin, Kuala Terengganu ini, masih mampu menjual nasi berlauk pada harga RM3.50 untuk satu hidangan.

Memetik laporan Harian Metro, simpati dengan nasib nelayan yang hilang sumber pendapatan pada musim tengkujuh mendorong pemiliknya Noharizan Hassan, 40 menjual nasi berlauk dengan harga murah.

Noharizan berkata, pelanggan boleh memilih satu daripada 11 jenis lauk pauk disediakan antaranya, ikan singgang, ayam masak hitam Penang, kari gam ayam dan ayam goreng berempah.

Bukan itu saja, pelanggan juga boleh mengambil sebanyak mana nasi diingini tanpa caj tambahan tetapi dengan syarat sekali ambil.

Ujarnya lagi, walaupun harga yang dijual tidak berbaloi, namun niatnya adalah untuk membantu mereka yang kurang mampu.

Mahu dikenali sebagai kedai RM3.50

“Jika diikutkan harga bahan mentah sekarang, harga saya tawarkan ini tidak berbaloi untuk meraih keuntungan. Tetapi, ia tidak menjadi keutamaan kerana saya berniaga untuk membantu golongan kurang berkemampuan menikmati juadah mengenyangkan pada harga murah.

“Tambahan pula ramai penduduk di kawasan ini terdiri daripada keluarga nelayan yang tidak dapat ke laut pada musim tengkujuh seperti sekarang, sebab itu saya tak kisah mengenakan caj murah,” katanya.

“Jika ikutkan harga semasa, satu hidangan saya tawarkan itu biasanya dicaj antara RM4.50 hingga RM5.50 satu hidangan.

Ujar Norharizan lagi, dia tidak terlalu memikirkan keuntungan sebaliknya apa yang menjadi keutamaan ialah untuk membantu golongan memerlukan dan sebolehnya mahu mengekalkan harga RM3.50 sampai bila-bila dan ingin dikenali sebagai kedai RM3.50.

Loading...

Leave a Reply