Jual durian RM1.99 sekilogram

BAGAN SERAI: Hanya dalam tempoh satu jam, tiga tan durian yang dijual seorang peniaga pada harga RM1.99 sekilogram (kg) habis dan mendapat sambutan di luar dugaan.

Mohd Shukri ketika ditemui, berkata mengambil rungutan orang ramai khususnya golongan B40 mengenai harga durian yang tinggi, dia nekad mencari rakan dalam kalangan pekebun di Bukit Gantang dan Trong, Taiping bagi membeli semua hasil durian pada harga borong dan menjualnya dengan harga murah sejak minggu lalu.

Beliau berkata, tindakannya itu bertujuan membolehkan semua golongan, termasuk B40 dapat menikmati durian dengan harga mampu milik.

“Selepas terbaca rungutan orang ramai di ruangan komen sebuah portal mengenai harga durian yang mahal dan hanya golongan ‘kayangan’ mampu membelinya, saya nekad mencari rakan yang mempunyai kebun durian dan membelinya secara borong.

“Selepas itu, tanpa mengambil untung yang tinggi saya tekad menjualnya pada harga ‘gila-gila’ iaitu RM 1.99kg dan turut memuat naiknya di laman sosial baru-baru ini.

“Namun, tidak sangka sambutan yang diterima sangat luar biasa dan selepas video saya tular, setiap hari saya mampu jual tiga tan durian dan habis dalam tempoh kurang sejam,” katanya ketika ditemui ketika menurunkan raja buah itu di Jalan Pesiaran Raja Syed Thauphy 4 hari ini.

Beliau berkata, setakat ini sudah lebih 20 tan durian berjaya dijual kepada orang ramai.

“Sambutan orang ramai sangat menggalakkan dan kebanyakan pelanggan datang lebih awal ke tapak jualan sebelum lori saya tiba,” katanya.

Sementara itu, pelanggan, Mohd Khaizal Mohd Shaari, 48, berkata dia mendapat tahu durian dijual pada harga murah selepas menonton video yang tular di media sosial.

“Harga yang ditawarkan sangat rendah dan berbaloi, sekali gus memberi peluang kepada orang ramai yang berpendapatan rendah dapat membeli dan menikmati buah ini.

“Usaha penjual durian menawarkan harga jualan seperti ini juga harus dipuji,” katanya.

Loading...
Published
Categorized as Utama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *