‘Jangan sampai terpaksa pilih siapa hidup, siapa mati’ – Dr Hisham

PUTRAJAYA – Kita tidak mahu sampai kepada tahap perlu pilih siapa yang hidup, siapa yang mati.

Itu peringatan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah kepada masyarakat berhubung trend jangkitan Covid-19 yang menunjukkan peningkatan mendadak di negara ini termasuk global.

Beliau berkata, meskipun kita masih berkemampuan dari segi kemudahan kesihatan, ia bukan alasan untuk rakyat terus mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan Covid-19.

“Kita tidak mahu berakhir seperti beberapa negara apabila kita memilih siapa yang hidup dan siapa yang mati.

“Ketika ini kita masih ada kapasiti, tetapi kita sarankan semua rakyat untuk pastikan mereka mematuhi SOP sebab kita berada dalam situasi kritikal.

“Katil di hospital awam dan hospital kerajaan semakin penuh. Kita harap, berikan kita masa dua minggu dan kemudiannya ia akan memberikan ruang penampan untuk kita siap siaga dan menguruskan kembali diri serta kemungkinan untuk menurunkan jumlah kes supaya hospital boleh memenuhi keperluan pesakit dijangkiti Covid-19,” katanya pada sidang media, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, ketika ini negara memerlukan masa untuk melaksanakan pendekatan luar biasa untuk menangani penularan Covid-19.

Beliau berkata, pihaknya ada mengadakan mesyuarat untuk menentukan keputusan kolektif bagi melihat isu ini.

“Ini adalah tempoh luar biasa dan kita memerlukan pendekatan luar biasa. Ini bukan waktu kebiasaan apabila kita boleh berpuas hati.

“Jadi, kita harap semua agensi dan sektor relevan berkenaan akan mengikuti garisan panduan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan tiada perhimpunan besar kerana ia sebenarnya punca jangkitan.

“Kita cuba mengelak majlis super spreader (perebak utama). Jika kita boleh mengelak majlis itu seperti majlis perkahwinan atau kematian,” katanya.

Beliau berkata, Kluster Pasai membabitkan upacara kematian dan ia menjadi majlis super spreader.

Menurutnya, majlis perkahwinan turut direkodkan sebagai majlis super spreader.

“Raya ini, kita harapkan tiada peningkatan mendadak jangkitan. Kenapa tidak kita lakukan sekali lagi. Sekarang, kes amat tinggi.

“Jika anda dijangkiti dan datang ke hospital dan jika tidak mempunyai cukup katil ICU (unit rawatan rapi), kita dalam masalah,” katanya.

Loading...
Published
Categorized as Utama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *